Monday, 28 April 2008

Berita

SAR - Tugas guru tidak selesai tamat waktu sekolah


KLANG, Isnin 28 April 2008: Guru-guru tidak wajar merasakan tugas mereka telah selesai apabila telah tamat waktu di sekolah, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut baginda, murid-murid di luar sekolah akan berdepan dengan krisis identiti, personaliti, budaya dan kerjaya sekiranya mereka gagal mengurus diri mereka.

“Dengan sebab itu guru-guru wajar mendampingi murid pada setiap ketika,” titah baginda di Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Batu Belah dekat sini pagi tadi.

Baginda juga berkenan menamakan sekolah berkenaan dengan nama SRAI Tengku Ampuan Fatimah.

Sultan Sharafuddin bertitah pendidikan Islam di peringkat awal lagi mampu melahirkan generasi Islam yang mempunyai akidah kukuh, ibadah yang benar dan akhlak yang sejahtera.

Titah baginda walaupun kita harus mengikut arus pemodenan dalam era globalisasi ini, ia harus diterima agar kita tidak ketinggalan.

Sultan Sharafuddin bertitah al-Quran juga perlu dibaca, difahami dan dihayati serta mengerjakan solat bagi melahirkan murid yang berjaya dan tabah mengharungi cabaran global.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sultan Selangor juga mahu guru-guru memainkan peranan mereka dalam menyumbang ilmu dan pengalaman untuk mengajar, mendidik dan membimbing murid-murid untuk menguasai dan mendalami ilmu-ilmu yang bermanfaat.

Di samping itu juga, mereka perlu menjaga identiti dan integriti agar dapat dijadikan contoh kepada murid-murid.

Tuesday, 22 April 2008

Berita

Kerajaan Negeri Selangor akan ambil alih sekolah menengah agama


KUALA LUMPUR,22 April - Kerajaan negeri Selangor akan mengambil alih semula Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk ditadbir sendiri, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Muhamad Khusrin Munawi.

Katanya, pengambilalihan itu adalah satu keperluan bagi kerajaan Selangor memandangkan bilangan murid sekolah menengah semakin bertambah.

Tambahan pula katanya, memberi pendidikan setakat darjah enam tidak mencukupi.
"Kita amat perlu mendidik anak-anak ini kerana pada peringkat 13 hingga 17 tahun mereka memerlukan pendidikan.

"Kalau kita tidak memberi pendidikan yang secukupnya maka berlakulah gejala anak-anak muda yang melapak di pasar-pasar raya, masalah keruntuhan akhlak dan sebagainya," katanya semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil Pelajar Sesi 2007 di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Allam, pada Sabtu, 14 April lalu.

Katanya, pada usia tersebut, jika tidak diberi pendidikan yang secukupnya kaum remaja akan mengalami keruntuhan akhlak dan sebagainya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri yang baru sekarang akan menambah sebanyak 40 buah sekolah agama yang dijangka siap pada tahun 2010.

Ini katanya, bagi menampung permintaan pelajar-pelajar yang ingin memasuki sekolah agama. "Dengan kemampuan yang kita ada dan bilangan sekolah yang ada, kita hanya dapat menampung kira-kira 60 peratus bilangan pelajar ke sekolah agama.
"Jadi kerajaan negeri sedang berusaha untuk menambah kemudahan-kemudahan tersebut," katanya.

Oleh sebab itu, beliau berharap di bawah kerajaan baru (Pakatan Rakyat) akan berlaku banyak lagi perubahan demi memantapkan syariah Islam.
Dalam pada itu katanya, dalam menangani masalah sosial yang semakin gawat melanda umat Islam, setiap orang Islam perlu bersama-sama pergiatkan usaha dakwah untuk menjadi umat yang cemerlang.

Malah katanya, kerajaan negeri membenarkan Jais mengadakan program-program agama khususnya mewujudkan program forum perdana di setiap daerah.
Katanya, forum pertama yang akan dianjurkan ialah di Stadium Melawati, Shah Alam pada 27 April ini dengan menampilkan ahli panel terkenal, antaranya, Dato' Haron Din dan Dato' Ismail Kamus.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan memperkasakan pendidikan agama kepada seluruh masyarakat.

Usaha tersebut katanya, akan dilakukan sehingga kepada mereka yang berurusan di pasar-pasar malam.

Ini katanya, bagi menimbulkan kesedaran kepada masyarakat sebagai seorang Muslim.
Bagaimanapun katanya, tanggungjawab menyuburkan syariat Islam bukan saja terletak ke atas Jais tetapi ia menjadi tanggungjawab semua orang Islam.
"Jais hanya ada 70 anggota penguatkuasa untuk mentadbir urusan syariah dan undang-undang jenayah syariah.

"Jadi mustahil untuk kita mengawal dan melaksananya tanpa kerjasama daripada masyarakat," katanya.

Tambahnya, selaras dengan pentadbiran kerajaan baru yang dilihat lebih mudah untuk perkasakan syariat Islam, Jais akan mengadakan program seperti usrah di jabatan-jabatan kerajaan setiap hari.

Sementara itu dalam majlis konvokesyen tersebut seramai 221 pelajar menerima sijil masing.

Penerima-penerima sijil berkenaan terbahagi kepada tujuh bidang iaitu Talaqi al-Quran Tinggi, Taranum al-Quran Lanjutan, Bahasa Arab Asas, Taranum al-Quran Asas, Talaqi al-Quran Pertengahan dan Talaqi al-Quran Rendah.
Dalam majlis tersebut turut diisytiharkan Md Amin Abdul Rahman alJarumi, 61, sebagai Tokoh Keilmuan.

Dato' Mohamed Khusrin turut menyampaikan sijil-sijil kepada pelajar yang disaksikan bersama Imam besar Masjid negeri, Shah Alam.