Saturday, 22 September 2007

Nurin


Photo Sekitar Pengkebumian Nurin









BERITA


Jenazah Nurin Jazlin Jazimin Selamat Disemadikan

KUALA LUMPUR, 21 Sept-Jenazah Nurin Jazlin Jazimin, 8, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibu Kota, Setapak dekat sini, kira-kira jam 2.50 petang tadi.


Kedua ibu bapanya Jazimin, 33 dan ibunya Norazian Bistaman, 35, serta adik beradik dan keluarga terdekat menyirami air mawar di atas kuburnya selepas selesai pembacaan talkin.
Walaupun cuaca panas terik, orang ramai yang berjumlah kira-kira 500 orang yang mengiringinya tidak berganjak dari kawasan perkuburan tersebut.


Suasana pilu turut menyelubungi perkuburan apabila Jazimin yang berbaju Melayu merah jambu dan berkopiah putih memeluk isterinya agar menerima kematian anak mereka sebaik selesai pengkebumian.

Sementara itu sebelum dibawa ke tanah perkuburan jenazah Nurin disembahyangkan di Surau Darul Saadah, Seksyen 1, Wangsa Maju oleh kira-kira 500 orang termasuk saudara mara terdekat.



Sebelum itu jenazahnya diziarahi kira-kira seribu orang dan kemudiannya selepas solat Jumaat, jenazahnya disembahyangkan oleh kira-kira 1000 jemaah.


Sementara itu, pagi tadi jenazah Nurin dituntut oleh keluarganya dari Hospital Kuala Lumpur.
Biarpun sebelum ini, bapanya menafikan mayat itu adalah anaknya yang hilang diculik sejak 20 Ogos lalu setelah keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan ia adalah Nurin.

Dalam pada itu, keluarga Nurin melahirkan rasa kesal di atas laporan TV3 malam tadi yang mengaitkan kematian Nurin dengan Along.

Salah seorang ibu saudara Nurin, berkata, satu Malaysia tahu mengenai tuduhan tersebut sedangkan keluarga terbabit tidak ada langsung berhutang dengan Along.

"Kami tidak mahu buat apa-apa kepada TV3 tetapi mereka orang yang berijazah, ada master, ada PHD, sepatutnya fikirlah kesan dari apa yang disiarkan. Kami yang menanggung malu," katanya ketika ditemui di surau berkenaan.

Undang yang ada tidak menjamin keselamatan

Sudah sampai masanya kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri menilai semula kesesuaian undang-undang hari ini sama ada ianya sesuai atau tidak memandangkan keselamatan bukan sahaja orang dewasa bahkan kanak-kanak sudah tidak lagi terjamin.

Thursday, 13 September 2007

Ramadhan Kembali Laagi......



Ramadhan Kembali lagi

Engkau memilihku untuk menemui RamadhanMu sekali lagi…….
Penuh syahdu, aku ucapkan jutaan syukur…. Sungguh, aku bersyukur

Engkau limpahkan kami "The Power Of 30 days..." Tiap hari darinya adalah berharga. Sangat berharga sehingga sehari puasa yang ditinggalkan di RamadhanMu, puasa sepanjang hayat tidak akan dapat menebus hari yang hilang….

Tiap jam dan tiap detik, permata-permata yang mahal. Saat-saat sahur, tempoh paling berharga dalam 24 jam itu, Engkau bangunkan kami. Lembutkan jiwaku untuk rebah dalam RedhaMu pada saat-saat yang harum hening itu....

Basahkan lidahku dengan Jaushan Kabir yang indah, atau Munajat Kumail yang membawa jiwaku mendayu….

Ah…, sungguh indah.

JanjiMu mengampunkan dosa kami yang terdahulu, limpahkan tanpa sempadan Wahai Maha Pemurah

Telah bergema di telingaku sahutan bacaan Qur’anMu di mana-mana, seakan deruan suara lebah yang ramai…

Tambahkan fahamanku terhadap ayat-ayatMu. Kukuhkan aku berpegang padanya biarpun dunia seluruhnya bergoncang…..
Suluhkan hidup kami dengan cahaya Ayat-AyatMu...

Dan saf demi saf di rumah-rumahMu, alangkah indahnya jika itulah gambaran perpaduan dan kekuatan ummahMu

Engkau lipatkan ganjaran seluruh perbuatan dan tindakan baik kami…, Engkau meminta kami pengasih dan prihatin, Engkau imbangkan pandangan kami terhadap dirti kami sendiri dan ummatMu yang lain melalui Jiwa Kepemurahan RamadhanMu. Kesejagatan RamadhanMu.....

Semangkuk gulai untuk jiran kami penghubung rahim. Biarkan saudara kami yang miskin dan memerlukan tidak kami abaikan walaupun hanya sebutir tamar untuk mereka di RamadhanMu. Dhua’fa’ Mu bawakan berbuka bersama kami kerana mereka kekasihMu

Saudara kami yang jauh, di Palestin sana, di Iraq yang sedang menderita, di mana saja….. ampunkan kami jika kami cuai, Ya Rabb

Qiam malam-malam RamadhanMu yang amat berkah, dan Lailatul QadarMu yang agung. Tegakkan tulang belakang kami untuknya. Tegakkan pendirian kami untuk agamaMu juga

Aku bersyukur. Kerna itu, limpahkan berkah yang melimpah ruah. Mendekatlah aku kepadaMu dengan jiwa baru. Bukakanlah tangan kurniaMu seluasnya, Maha Pengasih

Salam Ramadhan untuk semua....

Sunday, 9 September 2007

BICARA AGAMA






Persiapan Menyambut Ramadhan

"Sejarah Ramadhan
1) Ramadhan: ertinya panas terik
2) Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
3) Berlakunya perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
4) Bulan dimana nabi mengambil balik Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.
5) Di dalamnya dipilih ada malam al-qadar yakni lebih baik drpd 1000 bulan.
6) Di pilih untuk ibadat puasa.
7) Di pilih untuk ibadat2 lain (tadarus Al Quran)

Kelebihan Bulan Ramadhan
1) Kamu akan di naungi Ramadhan. (bagi yg telah meninggal dunia terlepas dari siksa kubur)
2) Bulan penuh keberkatan
3) Di malamnya ada lebih baik drpd 1000 bulan
4) Amal sunat sama dengan solat fardhu
5) Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda
6) Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga
7) Bulan menambah rezeki
8) Memberi buka banyak pahala
9) Bulan keampunan -* doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa.* juga doa pada sepertiga malam.
10) 10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Amalan-amalan di bulan Ramadhan

1) Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
2) Menempah pakaian untuk Ramadhan
3) Niat puasa sebulan pd permulaan Ramadhan
4) Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi(ayat 107-110) supaya dapat bangun malam
5) Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat)
6) Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
7) Solat berjemaah setiap waktu
8) Solat jemaah di masjid/surau
9) Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
10) Sahur diwaktu akhir
11) Sahur - utk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
12) Mandi Janabat sebelum Imsak
13) Kurangkan tidur
14) Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
15) Tunaikan Solat Dhuha
16) Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
17) Tunaikan solat Rawatib
18) Jaga pacaindera
19) Elakkan gosok gigi pd waktu petang
20) hadiri majlis ilmu
21) Buat baik pd ibubapa
22) Isteri hendaklah taat pd suami
23) Banyakkan bersedekah
24) Berbuka dgn 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api
25) Berbuka bersama org tua
26) Jemput tetamu berbuka
27) Kurangkan berat badan
28) Banyakkan i’tikaf di masjid (lelaki sahaja)
29) Baiki hubungan suami isteri
30) Baiki hubungan jiran
31) Isteri jauhi drpd keluar memakai mekap & perhiasan
32) Elakkan berbelanja berlebihan
33) Kuatkan kesabaran
34) Banyakkan selawat,istighfar,bertasbih
35) Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
36) Mengejut anak dan isteri di mlm Lailatul Qadar
37) Elakkan menonton TV yg mengandungi nafsu
38) Elakkan mendengar radio berunsur hiburan
39) Berdoa dgn nada lembut dan merayu
40) Jauhkan bercumbu dgn suami/isteri
41) Mendoakan ibu bapa samaada hidup atau yg meninggal dunia
42) Melazimkan solat waktu
43) Elakkan sebelum berbuka bersiar2 yg menjadikan pandangan liar
44) Elakkan banyak berhutang
45) Melepaskan perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
46) Tunaikan zakat fitrah

Cara Beramal Di Malam Lailatul Qadar (Malam 21-30)

1) Kepada Orang Tua Lemah Cara beramal solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di masjid/surau, ini sudah dikira beramal Al Qadar
2) Orang yg tidak sanggup solat malam yang panjang
* Baca ayat akhir surah Al Baqarah * Baca ayat Kursi * Baca surah Yaasin * Baca surah Al Zalazah
* Baca surah Al Qafirun * Baca surah Al Ikhlas 3) Bagi orang yamg kuat dan cergas * Bangunkan isteri dan anak * Mandi * Solat malam - Tahajjud, Taubat, Tasbih, Hajat, Istikharah, dan baca Al Quran

NUZUL Al QURAN ( 17 Ramadhan )* Tarikh turunnya Al Quran * Beramallah di malamnya dengan solat malam dan amal2 yg baik

Cara Sambut Hari Raya :
Jangan sekali2 disambut dgn hiburan, mercun, pesta lampu dan berbagai kemungkaran dan kemaksiatan.Pada petang akhir Ramadhan org2 yg meninggal(sudah mati) menangis kerana peluang untukberehat telah berakhir.Adalah di cadangkan semoga keluarga menziarahi kubur pada petang akhir Ramadhan atau jika kuburnya jauh, hendaklah dibaca doa Tahlil selepas solat Asar. Semoga mereka diampuni.Ibnu Abbas r.a pernah mengatakan bahawa roh orang yg meninggal dunia dibenarkan pulang ke rumah anak2nya dan berdiri di pintu rumah memohon belas kasihan drpd anak2 mengirimkan bacaan doa, sekurang2nya Al Fatihah sekali utk mereka. Oleh itu janganlah terlalu gembira dan ingatlah org2 tua yg sudah meninggal, semoga nanti sampai giliran kita maka anak2 akan ingat kpd kita.

Takbir Di Malam Raya
Takbir sebenarnya mempunyai cerita di sebaliknya. Mengikut riwayat, bermula dari peperangan Ahzab.
Peperangan berlaku di dalam musim sejuk, kemudian Salman Al Farisi mencadangkan supaya di gali parit (Khandak) di akhirnya peperangan ini di beri pertolongan oleh Allah dan kemudian dirakamkan di dalam Takbir.

Kesimpulannya
Bulan Ramadhan datang setahun sekali dan ia sebaik2 bulan, penuh keberkatan, pengajaran, mendidik mempunyai ketahanan dan penuh dgn amalan-amalan untuk mendekatkan diri kpd Allah dan hubungan sesama manusia. Oleh itu bersiap sedialah dari awal supaya ia benar2 mengubah sikap yg baik dan seterusnya menjadi insan yg soleh/solehah. Semoga dipertemukan di Ramadhan yang akan datang.

*Doa utk menghilangkan baran, maklumlah waktu lapar memang lekas naik angin…. Rujuk kepada Surah Al-Anbiyakk ayat ke 69. Sebelum minum baca doa dan tiupkan pada air (utk diri sendiri,anak,suami dll). Insyaallah cuba amalkan."

Tuesday, 4 September 2007

BERITA

PUASA MULA 13 SEPTEMBER 2007

KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negara ini dijangka berpuasa selama 30 hari pada Ramadan ini, bermula 13 September dan menyambut Aidilfitri 13 Oktober.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Ahmad Taufan Abdul Rasyid, berkata anak bulan Ramadan dijangka tidak kelihatan pada tarikh melihat anak bulan pada Selasa depan (29 Syaaban).

Katanya, mengikut hitungan falak, ijtimak atau peralihan fasa bulan akan berlaku pada jam 8.45 malam, iaitu kira-kira satu jam 35 minit selepas matahari terbenam.

“Mengikut kaedah ‘imkanurrukyah’, anak bulan disabitkan ‘belum atau tidak wujud’ selepas matahari terbenam pada hari berkenaan.

“Pada hari itu ijtimak belum berlaku kerana bulan terbenam lebih awal sebelum matahari terbenam dan dengan itu awal Ramadan dijangka jatuh pada Khamis, 13 September,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad Taufan berkata, kaedah imkanurrukyah yang digunakan di negara ini adalah penentuan awal bulan hijrah menggunakan gabungan dua kaedah iaitu rukyah (cerapan) dan hisab (kiraan) dan mengikut justifikasi kedudukan bulan dan matahari.

Katanya, mengikut kaedah ini, satu bulan biasanya hanya mempunyai 29 hari, apabila hisab falak menunjukkan ketika terbenam matahari pada 29 Hijrah, anak bulan disabitkan ada dan boleh nampak dalam keadaan biasa (menurut pengalaman rukyah terdahulu).

Rukyah turut dilakukan pada hari ke-30 bertujuan pengesahan dan semakan.

“Rukyah hilal atau pencerapan anak bulan biasanya dijalankan pada hari ke-29 bagi mengumpul data kenampakan anak bulan,” katanya.

Mengenai tarikh Aidilfitri pula, Ahmad Taufan berkata, berpandukan hitungan falak pada Khamis 11 Oktober bersamaan 29 Ramadan, ijtimak akan berlaku pada jam 1.02 tengah hari iaitu kira-kira lima jam 54 minit sebelum matahari terbenam.

“Mengikut kaedah ‘imkanurrukyah’, anak bulan disabitkan berada pada kedudukan ‘tidak mungkin boleh kelihatan’ dan tidak wujud selepas matahari terbenam pada 11 Oktober.

“Ijtimak berlaku agak hampir dengan waktu matahari terbenam iaitu kira-kira enam jam saja dan waktu bulan terbenam hampir sama dengan waktu matahari terbenam.

“Justeru, awal Syawal 1428 dijangka bersamaan dengan Sabtu, 13 Oktober,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tarikh sebenar puasa dan Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam tarikh melihat anak bulan diumumkan.

Saturday, 1 September 2007

SAMBUTAN KEMEREDEKAAN KE - 50

Perayaan Raksasa Merdeka

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- BERCAHAYA ... Ruang angkasa di sekitar Stadium Merdeka bermandikan cahaya bunga api semasa perayaan Raksasa Merdeka sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 di sini, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat menghadiri acara kemuncak sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50 negara itu, yang padat dengan persembahan kebudayaan, pancaragam dan akrobatik yang menyelusuri era lima Perdana Menteri Malaysia sejak 1957.
Kira-kira 20,000 orang termasuk para pembesar dan pemimpin negara asing juga menghadiri sambutan itu yang disertai 18,012 peserta.







SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE - 50

Sambutan berwajah Malaysia

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Sambutan Hari Kemerdekaan ke-50 di Dataran Merdeka di sini hari ini melambangkan wajah sebenar Malaysia dengan rakyat berbilang kaum tampil penuh warna-warni atas semangat muhibah, bersatu-padu dan setiakawan sejati.

Sejajar dengan tema ‘Malaysiaku Gemilang’, perbarisan pada sambutan hari ini melambangkan lima era yang dilalui oleh negara yang membawa kepada kejayaan pembangunan yang cemerlang, keamanan dan kemakmuran.



Sambutan itu juga membuktikan bahawa perpaduan yang menjadi asas kepada kemajuan negara terus dipegang teguh oleh rakyat pelbagai kaum yang memenuhi setiap inci kawasan di Dataran Merdeka.

Perpaduan itu diserlahkan lagi dalam setiap acara, perbarisan dan perarakan yang disertai oleh 24,300 peserta.

Sambutan yang bermula pukul 8.10 pagi itu juga sentiasa diselang-seli dengan laungan ‘Merdeka’ dan ‘Malaysiaku Gemilang’ daripada hadirin dan para peserta.

Pada sambutan kali ini, setiap formasi yang dipersembahkan mempunyai kaitan dengan rentetan sejarah kemerdekaan negara 50 tahun lalu dan kejayaan yang dikecapi sampai kini.

Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka sejak pukul 5 pagi lagi termasuk para pelancong asing.



Sambutan bermula sejurus ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama menteri-menteri Kabinet.




Turut menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Duke of York, Putera Andrew dari United Kingdom; Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Gabenor General Australia, Major General Michael Jeffery.



Pemimpin ASEAN yang hadir ialah Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen; Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh; Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung dan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, selain duta-duta asing.

Perarakan sambutan hari ini disertai 14 kereta berhias, 29 kontinjen pancaragam termasuk para pelajar sekolah, 100 kontinjen berjalan kaki dan 25 buah kenderaan tentera.

Selain itu, acara lintas hormat udara kali ini melibatkan 52 pesawat dan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Acara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan pada masa sama lima helikopter Nuri TUDM membuat lintas udara diraja dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Tentera Darat, Laut dan Udara. Tembakan meriam turut dilepaskan ke udara sebanyak 14 das.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.

Kemudian, 2,300 penyanyi koir dari Institut Perguruan menyanyikan lagu Jalur Gemilang, Cemerlang Gemilang Terbilang dan Malaysiaku Gemilang diiringi paluan gendang masyarakat majmuk Malaysia.

Ia diikuti bacaan ikrar oleh 50 pelajar termasuk pelajar sekolah pendidikan khas, diketuai oleh Syed Nur Khairin Al-Safi sebelum melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.

Dataran Merdeka kemudian bertukar wajah apabila persembahan padang membabitkan lebih 10,000 peserta koir dan pancaragam bermula dengan memaparkan lima era yang dilalui oleh negara menerusi paparan perkataan seperti Merdeka 31 Ogos 1957, Malaya, Pembentukan Malaysia dan DEB.

Sepanjang sambutan, para pengunjung bersama-sama peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda keharmonian.