Raja Nazrin tanggung sendiri perbelanjaanKUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menolak dengan hormat peruntukan kewangan kerajaan untuk urusan perkahwinan baginda dengan Zara Salim Davidson Khamis ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

“Selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri, saya amat menghargai keperibadian dan pekerti Raja Muda Perak atas keprihatinan baginda tidak memberi perkenan kepada kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan untuk urusan perkahwinan baginda,” katanya.
Tajol Rosli berkata, Raja Nazrin menzahirkan perkara itu ketika beliau menghadap baginda baru-baru ini.
“Ketika saya menghadap, baginda dengan sopan dan hormat menzahirkan terima kasih kepada peruntukan kewangan yang disediakan kerajaan negeri bagi membiaya perbelanjaan perkahwinan diraja.
“Sebaliknya baginda menasihatkan supaya kerajaan negeri membelanjakan peruntukan itu untuk projek pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tajol Rosli berkata, Raja Muda Perak juga menitahkan segala perbelanjaan keraian akan ditanggung baginda sendiri.
“Oleh itu, jika ada sebarang perbelanjaan membabitkan khazanah kerajaan adalah berkaitan perkara-perkara pembaikan dan meningkatkan prasarana dan kemudahan yang memberi manfaat orang awam secara berkekalan untuk jangka panjang,” katanya.
Menteri Besar Perak berkata, Raja Nazrin juga turut menitahkan supaya perbelanjaan untuk jamuan rakyat diserahkan tuntutan bayarannya kepada baginda.
“Sifat prihatin baginda tidak memberi perkenan menggunakan wang kerajaan itu amat saya hargai dan menyentuh hati,” katanya.
Beliau berkata, baginda juga menitahkan supaya keraian perkahwinan baginda ini dibuat dalam semangat dan secara sederhana. – Bernama
Tajol Rosli berkata, Raja Nazrin turut menasihatkan syarikat dan orang perseorangan untuk tidak berlumba-lumba membeli ruang iklan ucap tahniah di akhbar.
“Sebaliknya baginda menasihatkan dan lebih bergembira supaya perbelanjaan itu disumbangkan untuk tujuan amal terutama didermakan kepada rumah ibadah, badan kebajikan, rumah orang tua dan anak yatim serta sekolah di Perak.
“Sesungguhnya pekerti baginda jelas membuktikan jiwa seorang Putera Raja yang berhati rakyat.
“Atas nama kerajaan negeri dan bagi pihak rakyat Perak Darul Ridzuan saya melafazkan kesyukuran terhadap Illahi dan merafak sembah junjungan kasih terhadap baginda, dan mendoakan kedua-dua Pengantin Diraja dilimpahkan rahmat dan kebahagiaan,” katanya.
Istiadat pernikahan antara Raja Nazrin dan Zara akan diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dan diikuti istiadat permasyhuran Zara sebagai Raja Puan Besar Perak pada Jumaat.
Pada malam Sabtu, istiadat Persandingan Diraja akan diadakan di Istana Iskandariah dengan satu jamuan rakyat turut diadakan secara serentak di Arena Square di Kuala Kangsar yang dihadiri 5,000 jemputan termasuk anak-anak yatim dan pelajar sekolah di bandar itu. – Bernama