Monday, 30 April 2007

MARIKH

Selepas Bumi, terdapat pula planet Marikh yang mempunyai jarak kejauhan secara purata 1.5 AU. Berbeza dari planet-planet lain, Marikh berputar di atas paksinya lebih-kurang dalam masa yang sama dengan Bumi. Oleh yang demikian, pertukaran siang dan malamnya agak serentak dengan Bumi. Paksi putarannya juga condong berbanding dengan dataran orbit pada sudut yang lebih kurang sama dengan Bumi. Ini menyebabkan musimnya lebih kurang serupa dengan Bumi, cuma mengambil masa yang lebih panjang sebab satu putarannya mengelilingi Matahari atau setahun di Marikh, mengambil masa lebih panjang dari setahun di Bumi.



Imej mozek Marikh hasil gabungan dari 102 imej-imej yang diambil oleh kapal angkasa Viking. Imej ini berpusat kearah bahagian Valles Marineris, satu sistem yang terdiri daripada 3000 km canyon yang curam dengan kedalaman 8 km. Di sebelah kiri pula terdapat gunung berapi Tharsis Dome yang mempunyai tahap ketinggian 25 km. Kredit : NASA/GSFC

Imej mozek Marikh hasil gabungan dari 102 imej-imej yang diambil oleh kapal angkasa Viking. Imej ini berpusat kearah bahagian Valles Marineris, satu sistem yang terdiri daripada 3000 km canyon yang curam dengan kedalaman 8 km. Di sebelah kiri pula terdapat gunung berapi Tharsis Dome yang mempunyai tahap ketinggian 25 km. Kredit : NASA/GSFC
Dari permukaan Bumi, Marikh kelihatan agak merah dengan beberapa zon-zon gelap. Khutubnya pula kelihatan agak putih. Permukaan Marikh bertukar bergantung kepada musimnya. Pada musim panas zon khutub yang agak putih kelihatan kecil. Manakala pada musim sejuk pula, zon khutup yang putih kelihatan membesar sementara zon gelap pula mengecil. Zon gelap adalah kawasan batu-batuan yang diliputi debu-debu yang bertukar ketebalannya mengikut musim. Warna merah di permukaan Marikh adalah disebabkan oleh keujudan besi-oksida.

Penjelajahan Marikh menggunakan kapal angkasa telah bermula dalam tahun 1965 dengan penerbangan-lintas oleh Mariner 4. Dua kapal angkasa Mariner yang lain juga dibina dengan cara yang sama. Cuma Mariner 9 saja yang diletakkan di orbit mengelilingi Marikh untuk mengambil gambar permukaannya selama hampir satu tahun. Dalam tahun 1976, Dua kapal angkasa Viking menyelidiki Marikh selama beberapa tahun. Setiap satu nya terdiri daripada satu alat cerapan yang berputar mengelilingi Marikh untuk memetakan permukaan dan meyelidiki atmosfera dan satu lagi alat penduga yang diturunkan kepermukaan Marikh untuk mengkaji cuaca, ukuran seismos dan mengambil bahan contoh permukaan terutamanya untuk mengesan keujudan unsur-unsur hidup. Serentak dengan kejayaan cemerlang yang telah dicapai, Marikh juga menimbulkan beberapa kekecewaan yang besar dengan kegagalan kapal angkasa Mars Observer dalam tahun 1993 dan Beagle 2 dalam tahun 2003.

Atmosfera

Planet Marikh mempunyai garis-pusat 6800 km. Udaranya adalah amat nipis dengan tekanan udara kurang dari 1 peratus tekanan di Bumi. Lebih 95 peratus daripada atmosferanya adalah terdiri daripada karbon-dioksida. Selebihnya adalah terdiri daripada sedikit nitrogen, argon, oksigen dan gas yang lain-lain. Dalam atmosfera tersebut juga terdapat sedikit wap air yang cukup untuk membentuk awan berais dan kabus. Dari permukaan Marikh pula, langit kelihatan berwarna jingga. Ini mungkin akibat kehadiran debu-debu di atmosferanya.

Suhu di permukaan Marikh berubah dengan amat cepat, dari tahap minima -140 darjat Celcius diwaktu malam ke tahap maksima 0 darjat diwaktu siang pada musim sejuk dan 20 darjat diwaktu siang pada musim panas. Atmosfera Marikh kadang-kadang menimbulkan ribut dan taufan melibati keseluruhan Marikh dan berlanjutan selama beberapa bulan. Dalam masa ini, permukaan Marikh akan tertutup dari penglihatan disebabkan debu-debu yang terangkat dari permukaan akibat tiupan angin. Ribut dan taufan seperti ini telah terjadi dipermulaan misi Mariner 9. Pada masa itu, Mariner 9 tidak dapat mencerap permukaan Marikh selama beberapa minggu.

Permukaan

Hasil kajian dari beberapa kapal-kapal angkasa telah mendedahkan permukaan Marikh yang bukan saja menarik bah kan kaya dengan beberapa bentukan semulajadi yang menakjubkan seperti bekas-bekas gunung berapi, kawah-kawah, canyon dan dasar sungai yang telah kering. Bentukan ini tidak bertabur secara rata di permukaan planet ini, mereka terkumpul dan terhad kepada satu hemisfera tertentu.


Gambaran panorama permukaan Marikh yang diambil semasa misi Pathfinder dalam tahun 1997. Kredit : NASA/GSFC
Hemisfera utara Marikh penuh dengan bentukan yang berasal dari aktiviti volkano. Terutama sekali, di sini terdapat dua kawasan dimana gunung-gunung berapi berkumpul; satu daripadanya ialah Tharsis Dome yang terdiri daripada 3 gunung-gunung berapi melebihi ketinggian 20 km, manakala satu lagi kawasan yang berada disebalik planet iaitu satu kawasan yang dipanggil Elysium Planitia. Berdekatan dengan Tharsis Dome terdapat gunung berapi yang terbesar di dalam Sistem Suria. Gunung ini yang dipanggil Mount Olympus mempunyai ketinggian 26 km dan tapak bergaris-pusat 600 km.

Serupa dengan gunung berapi di Hawaii, gunung berapi di Marikh juga mempunyai bahagian pinggiran yang lembut. Ini adalah disebabkan kehadiran punca panas di dalamnya yang mengeluarkan lava dari keraknya. Saiz gunung-gunung tersebut yang amat luar biasa mungkin disebabkan ketiadaan plet tektonik. Di Bumi, kehadiran plet tektonik menyebabkan pergerakan kerak dan interaksi dengan punca panas mengujudkan beberapa gunung berapi yang kecil. Di Marikh pula, kerak tersebut tidak bergerak dan kumpulan lava panas secara sedikit demi sedikit membentuk satu gunung berapi yang amat besar. Dari kajian keatas beberapa kawah-kawah di kawasan ini, Kubah Tharsis dijangka berumur agak muda, iaitu beberapa ratus juta tahun.



Gambaran panorama permukaan Marikh yang diambil semasa misi Pathfinder dalam tahun 1997. Kredit : NASA/GSFC

Hemisfera selatan pula berbeza. Ia dipenuhi dengan kawah-kawah hasil hentaman yang lama lebih-kurang beberapa ribu juta tahun. Berbeza dari kawah-kawah di Bulan yang mempunyai bentukan yang tidak berubah mengikut masa, kawah-kawah di Marikh pula sangat terpengaruh dengan hakisan udara. Kesan udara telah membulatkan bentuknya dan meliputi bahagian luarnya dengan lapisan debu yang tebal.

Satu daripada bentukan yang menakjubkan di permukaan Marikh terdapat berdekatan dengan khatulistiwanya. Ia mempunyai bentuk canyon yang amat besar. Sebagai penghormatan kepada kapal angkasa Mariner, bentukan besar ini telah dinamakan Valles Marineris. Ia memanjang melebihi 3000 km dengan kedalaman 8 km. Bentukan tersebut dikelilingi oleh sistem canyon yang agak sederhana besarnya. Pakar-pakar planet percaya bahawa bentukan tersebut adalah akibat runtuhan dataran-dataran yang besar.

Struktur terakhir yang jelas kelihatan di permukaan Marikh berada berdekatan dengan Valles Marineris. Ia terdiri daripada lurah-lurah kecil yang berliku-liku menyerupai sungai-sungai yang kering. Ini telah menimbulkan kepercayaan bahawa air mungkin telah halir di permukaan Marikh pada satu masa yang lepas.

Kita hentikan pemerhatian ringkas kita keatas permukaan Marikh dengan memberi perhatian keatas dua satelit-satelitnya. Satelit-satelit tersebut yang dipanggil Phobos dan Deimos mempunyai saiz lebih-kurang 10 km. Bentuk mereka kelihatan tidak teratur dan permukaan mereka penuh dengan kawah-kawah. Kedudukan mereka berdekatan dengan Asteroid Belt dan bentuk mereka yang sebegitu rupa menyebabkan pakar-pakar astronomi mengesyaki bahawa mereka sebenarnya adalah asteroid yang terperangkap dalam tarikan graviti Marikh.

Lawati Laman Web: http://www.astronomes.com/

Thursday, 26 April 2007

Saintis temui ‘bumi’ baru

WASHINGTON: Pakar astronomi Eropah buat pertama kalinya berjaya menemui sebuah planet baru di luar lingkaran Sistem Suria yang didakwa boleh didiami kerana ciri suhunya menyamai bumi.


Planet terletak luar lingkaran Sistem Suria, didakwa boleh didiami


Penemuannya yang turut dikenali Gliese 581 c, disifatkan saintis sebagai amat bermakna dalam usaha mencari bukti wujudnya kehidupan lain di angkasa lepas.

“Ia penting bagi mencari kemungkinan wujudnya hidupan lain di angkasa lepas,” kata pakar astronomi Universiti Geneva, Michael Mayor.

Beliau adalah antara 11 saintis Eropah yang menemui planet itu.

“Penemuannya amat bermakna tetapi masih ada banyak lagi persoalan yang perlu dijawab.”

Planet itu dengan saiz bentuk sesuai, juga dikatakan berkemungkinan mempunyai air.

Penemuan planet baru itu juga membuka jalan kajian ke atas planet yang mengelilingi bintang malap. Sebanyak 80 peratus bintang berhampiran bumi adalah jenis ‘Red Dwarf.’

Planet baru itu tidak dipastikan sama ada permukaannya berbatu atau diliputi ketulan ais dan air. Jika ia berbatu seperti bumi, ukur lilitnya adalah satu setengah kali lebih besar berbanding bumi.

“Jika ia diliputi ais, sudah pasti saiznya lebih besar,” kata Mayor.

Berdasarkan teori yang ada, Planet Gliese 581 c itu masih misteri.

Masih banyak yang belum diketahui mengenai planet baru itu, termasuk kemungkinan ia boleh didiami sebaik butiran terperinci diperoleh.

Maklumat sedemikian penting berdasarkan syarat ditetapkan ke atas planet boleh didiami seperti dakwaan ke atas planet Marikh yang menyamai suhu bumi dan menjadi petanda kewujudan air. – AP

Tuesday, 17 April 2007

Pengetua mesti kuasai aplikasi asas ICT: TPM

KUALA LUMPUR: Pihak pentadbiran sekolah termasuk pengetua dan kerani mesti mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekurang-kurangnya aplikasi paling asas, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ICT mesti digunakan untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos operasi serta meningkatkan sistem perhubungan dalaman dan dengan pihak luar.




“Sewajarnya semua kakitangan sekolah dan pentadbir diberi latihan dan pendedahan secukupnya, sekurang-kurangnya dapat menggunakan aplikasi asas, seperti e-mel, prosesor ‘word’ dan pelayar internet.

“Ini penting untuk membolehkan mereka menggunakan ICT ke peringkat maksimum,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Sekolah Bestari di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Najib berkata, elemen yang perlu dilihat dalam operasi sekolah, terutama sekolah bestari, adalah aspek pengurusannya yang mungkin memerlukan pengubahsuaian secara besar-besaran terhadap proses tradisional dan prosedur yang wujud dalam sistem persekolahan sejak berdekad lamanya.

Setakat ini, lebih 5,000 makmal komputer sekolah sudah dibina yang dilengkapi 133,000 komputer dan 4,700 server manakala 88 sekolah perintis di bawah projek sekolah bestari pula mempunyai 5,806 komputer dan 261 server.

Katanya, membina keupayaan untuk sekolah mesti dilakukan secara berterusan dengan meningkatkan keupayaan server dan aplikasi komputer kerana teknologi maklumat cepat berubah.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membeli peralatan ICT dan membina makmal komputer di sekolah, tetapi kemudian membiarkannya,” katanya.

Beliau juga mahu kurikulum sekolah dikaji dan dinilai semula supaya memberi penekanan terhadap sistem pembelajaran yang membentuk keupayaan berfikir dan menggunakan minda untuk menyelesaikan masalah.

“Kita boleh lengkapkan sekolah dan melatih guru dalam bidang ICT, tetapi jika kurikulum masih memusatkan kepada peperiksaan dengan kecenderungan untuk murid menghafal dan menulis semula angka dan fakta, matlamat kita tidak akan tercapai.

“Kurikulum kita mesti menggambarkan kesungguhan untuk melahirkan pemikir dan perlu memasukkan penggunaan ICT sebagai kaedah meningkatkan kekayaan maklumat daripada lebuh raya maklumat,” katanya.

Beliau berkata, guru, terutama di Sekolah Bestari, juga perlu sentiasa diberi latihan bukan saja berkaitan ICT, malah pedagogi analitikal supaya mempunyai kemahiran mengajar membentuk pemikiran kreatif.