Tuesday, 27 February 2007

Awas! Skim cepat kaya internet haram di sisi agama!





KUALA LUMPUR,27 Feb - Dengan pulangan yang berlipat ganda dan jaminan keuntungan ratusan ribu malah jutaan ringgit dalam tempoh singkat, pelbagai perniagaan yang berasaskan sistem Multi Level Marketing (MLM) di internet, semakin 'menggoda' umat Islam untuk melabur walaupun sebahagian besarnya dari sudut hukum agama jelas haram.




Penasihat Syariah Dalaman, Asian Finance Bank, Zaharuddin Abd Rahman berkata umat Islam perlu berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan sistem kewangan di internet yang menyamai skim cepat kaya atau skim piramid yang berisiko tinggi dan perlu merujuk kepada pakar kewangan Islam sebelum menceburinya.

"Apa jua pelaburan yang diceburi, mestilah merujuk kepada penasihat syariah syarikat tersebut supaya dengan cara ini diketahui secara jelas bahawa pelaburan tersebut sah di sisi agama ataupun tidak,"katanya lagi ketika ditemubual Harakahdaily di pejabatnya sebentar tadi.

"Dan sebahagian besarnya tidak wujud majlis penasihat syariah serta tidak jelas produk yang diusniagakan," katanya.

Beliau sebelum ini yang telah membuat beberapa kajian tentang pelaburan internet seperti EM-Pay, Swisscash, Willyfund dan E-Barrel telah menjelaskan secara terperinci kaedah tersebut dan hukumnya dimuatkan dalam keluaran Harakah lalu dan juga dalam laman webnya www.zaharuddin.net serta detikdaily.net.

Kebanyakannya pelaburan di internet yang dikenal pasti secara umumnya menjurus kepada kaedah 'mencari' orang untuk menambah pendapatan dan tiada produk yang diniaga malah seandainya ada pun ianya bersifat haram kerana terdapat unsur judi dan gharar (tidak jelas) yang ditegah di dalam Islam, jelasnya.

Dalam laman webnya Zaharudin turut menjelaskan salah satu syarikat EM-Pay yang diragui perniagaannya seolah-olah "perniagaan timbun dan kutip wang dari orang ramai dan kad diskaun," seperti contoh seorang individu melabur RM 138, dan dan dalam tempoh dua minggu EM-Pay memberi pulangan RM 32,000 dan ini dinamakan Riba Al-Fadhl katanya yang merujuk kepada (Mughni al-Muhtaj, Khatib Ash-Sharbini, 2/28 ; Al-Bada'I As-Sonai' , Al-Kasani, 5/183 ; Qadhaya Iqtisodiyyah Mu'asiroh, Dr Sulaiman Al-Asyqar, 2/592).

"Ia jelas katanya bukanlah perniagaan yang diiktiraf oleh Shariah, malah ia adalah Riba," katanya.

Tanpa menjual sebarang produk malah sistem ini secara amnya melanggar 'nature of business' atau fitrah ekonomi yang akan mengakibatkan ramai yang tidak bekerja, malas dan berangan kaya semata-mata menantikan keuntungan yang dijanjikan.

"Inilah yang dinamakan 'money game' yang diharam sama sekali di dalam Islam. Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan Riba.

"Bukan semua MLM tetapi jenis yang 'bermain dengan kepala' (komsiyen ikut kepala dan berapa ramai ahli yang berjaya diperolehi dan bukannya komisyen jual barangan syarikat) jelas haram disisi agama," jelasnya terperinci dalam laman webnya.

Tambahnya lagi ia adalah perniagaan duit dan ‘kepala' iaitu tajaan kepala dan setiap bagi mendapatkan satu ‘kepala' atau ‘lot' adalah perlulah membayar sejumlah wang.

"Walaupun sememangnya kelihatan amat menggiurkan tetapi malangnya, ia adalah tidak halal secara pasti tanpa syubhah lagi," katanya lagi

Selain itu, walaupun dengan alasan untuk menjana ekonomi pendapatan umat Islam sekalipun katanya namun perkara pokok halal haram sesuatu perkara jangan dikesampingkan sedangkan 'niat tidak menghalal cara' dan Islam tidak meletakkan material ataupun harta benda semata-mata kepada asas memulihkan ekonomi umatnya ini termasuk jugalah alasan untuk mengubah keadaan kewangan yang semakin terhimpit dan bebanan kos sara hidup yang tinggi yang menimpa umat Islam khususnya rakyat di negara ini.

Beliau turut kesal dan kecewa berikutan umat Islam terpengaruh dan terpedaya akibat daripada keyakinan untuk menceburi pelburan ini disebabkan diyakinkan oleh sesetngah individu yang bergelar 'ustaz' dan ahli dalam pengetahuan agama.

"Yang saya dahulukan ialah kepentingan umat Islam dan tanggungjawab saya sebagai umat Islam untuk menjelaskannya, sama ada ada yang bersetuju atau tidak itu terpulanglah," katanya yang turut menyatakan bahawa kapasiti beliau bukanlah sebagai seorang Mufti namun menyarankan para Mufti mengeluarkan fatwa berkaitan sistem ini.

"Kajian saya terhadap sistem ini,tidak tertumpu kepada benar atau tidak keuntungan yang dijanjikan, wujud muslihat atau sebaliknya tetapi tertumpu sama ada ia menepati kehendak syariah dan sah di sisi agama," katanya

"Dan jangan meletakkan 'ustaz' sebagai 'benchmark' atau 'standard' untuk menceburi bidang sedangkan yang perlu dititik beratkan ialah hukum agama," katanya biarpun ramai para Ustaz menceburinya termasuk skim tertentu yang mungkin sah dari segi undang-undang ataupun pernah dilancarkan oeh para menteri.

Disember tahun lalu, akhbar pernah melaporkan sekurang-kurangnya wujud 50 laman web internet tempatan yang dikesan menjanjikan rakyat negara ini mengikuti skim jutawan segera antaranya bermodal RM 2.00 dan mendapat pulangan RM 1 juta dalam tempoh seminggu ataupun sebulan.

Malah dalam akhbar yang sama, jurucakap Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) berkata laman web seperti ini memang banyak dikesan tetapi tidak ramai yang membuat laporan polis selepas terpedaya atau kerugian besar akibat pelaburan yang dibuat.

"Memang semua orang mahu menjadi jutawan tetapi perlulah mengikut cara yang betul dan bukannya berangan melabur beberapa ringit dan mengaaharap jutaaan ringgit sebagai pulangan," kata jurucakap tersebut. - mks

Thursday, 22 February 2007

Sejarah Raja Melewar (Negeri Sembilan)






Sebelum penjajah barat menakluki alam Melayu ini, beberapa buah kerajaan yang masyhur telah bertapak kuat dalam rantau dan daerah tertentu seperti kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Majapahit, Bugis, Riau Lingga, Pasai, Acheh, Temasek, Melaka dan lain-lain. Semua negeri-negeri ini diperintah oleh raja-raja Melayu yang berdaulat dalam negerinya masing-masing.

Tetapi akibat 'telunjuk lurus kelengkeng berkait' penjajah barat baik Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Amerika yang pada awalnya hendak berdagang akhirnya sedikit demi sedikit negeri-negeri Melayu ini telah menjadi tanah jajahan berabad-abad lamanya.



Tuduhan-tuduhan dari orang-orang barat yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu berkebudayaan lanun seperti yang pernah kita dengar beberapa tahun yang lalu adalah semata-mata karut dan sengaja direka dengan maksud dan niat serta bertujuan jahat.

Orang-orang Melayu telah bertamadun sejak beribu tahun yang lalu. Selain daripada dapat mengatur dan mentadbir negaranya sendiri sesuai dengan keadaan waktu itu, nenek moyang kita juga telah biasa mengharungi samudera luas seperti Lautan Hindi, Laut China dan sekitar Lautan Pasifik Selatan selain dari laut alam Melayu dengan menggunakan kapal-kapal layar yang besar yang mereka bina sendiri.

Mereka bukan saja membuat perhubungan dengan negeri China, sebelah timur, malah dengan negara yang lebih bertamadun dan kuat di barat yang kita kenal dengan nama Benua Rom.






Laksamana Hang Tuah pernah diutus oleh Sultan Melaka sebagai duta pelawat dikedua-dua buah negara tersebut, selain dari menjalin hubungan dan mengikat tali persahabatan di antara kerajaan Melayu Melaka dengan negeri China dan Benua Rom, hubungan dagang juga telah turut dilakukan.

Orang-orang Bugis umpamanya walaupun dicap sebagai perompak lanun oleh orang-orang barat, tetapi apa yang sebenarnya, mereka adalah perwira-perwira angkatan laut yang gagah perkasa dan mahir dalam peperangan laut. Angkatan laut Portugis, Belanda dan juga Inggeris banyak yang tewas di tangan mereka yang telah menguasai laut alam Melayu sehinggalah ke Riau dan Semenanjung Tanah Melayu.

Sebagaimana dengan negeri-negeri lain, Negeri Sembilan juga tidak kurang dengan susunan pentadbiran yang teratur meskipun ia merupakan sebuah negeri yang baru terbentuk setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka dan Johor.




Raja Melewar yang dijemput dari Minangkabau itu telah ditabalkan pada tahun 1773M oleh Datuk-datuk Penghulu Luak (waktu itu belum bergelar Undang) di Kampung Penajis, Rembau. Sebelum itu walaupun Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Sultan Johor, tetapi Luak-luak di Negeri Sembilan ini adalah di bawah pentadbiran Penghulu masing-masing dengan dibantu oleh Lembaga dan Buapak. Sistem pentadbiran negeri dapat dikatakan satu pemerintahan yang bercorak demokrasi yang berbentuk 'tear system'. Perbilangan yang menyebutkan,

'Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadi Raja'

membuktikan atas kebenaran ini. Manakala sistem pentadbiran pula turun dari atas iaitu Raja, Penghulu, Lembaga dan Buapak. Buapak yang memiliki anak buah menyampaikan segala perintah. Itulah yang disebutkan dalam perbilangan adatnya:

'Berjenjang naik, bertangga turun'.

Setelah penjajah Inggeris mencampuri pemerintahan, maka berlakulah berbagai-bagai perkara yang tidak diingini "pecah-pecah dan perintah" yang menjadi permainan penjajah itu telah digunakan dengan bijaksana oleh penjajah Inggeris. Akhirnya Sungai Ujung dan Jelebu terpaksa menerima seorang Residen British, kemudian diikuti oleh Rembau manakala Seri Menanti telah kalah berperang dengan Inggeris yang dibantu oleh Penghulu Syed A.Rahman Sungai Ujung pada tahun 1874M.

Nama Negeri Sembilan yanag kita warisi sekarang ini adalah diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu adalah diambil dari istilah yang lazim dipakai dari tanah leluhur (asal) Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak atau mukim atau kampung, orang-orang Minang memanggil dengan nama 'negeri'.

DI SEBALIK NAUNGAN

Sebelum negara mencapai kemerdekaan sebagaimana juga negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang dijajah sejak YamTuan Antah dikalahkan dalam perang Bukit Putus dalam tahun 1874M itu. Meskipun kerajaan Inggeris mendewa-dewakan bahawa, negeri-negeri Melayu ini adalah negeri naungan di bawah panji-panji kerajaan Inggeris, Ia tidak sama tarafnya dengan Negeri-negeri Selat seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Pegawai Inggeris yang menjadi wakil Baginda King di England itu dipanggil Gobenor, sebaliknya dalam Negeri-negeri Melayu yang sembilan lagi itu gelaran Gobenor ini dipanggil Pesuruhjaya Tinggi British (British High Commissioner) saja.

Negeri ini memiliki bendera sendiri, lagu kebangsaan sendiri seolah-olah menggambarkan sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Baik Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang beribu pejabat di Singapura itu, Residen British atau pegawai-pegawai daerah yang semuanya Inggeris dalam surat menyurat dengan DYMM, Datuk-datuk Undang, Penghulu malah dengan Datuk-datuk Lembaga pun mereka membahasakan dirinya dengan perkataan 'beta' dan 'sahabat beta', ertinya mempunyai taraf yang sama.

Sebaliknya kalau kita meneliti perjanjian yang dikatakan persahabatan di antara British di satu pihak dengan Raja dan Undang di pihak lain ada disebutkan disitu, bahawa kerajaan British berhak meletakkan seorang Pegawai British, yang dipanggil 'British Resident' untuk memberikan nasihat dalam bidang pentadbiran yang mesti dipatuhi kecuali yang mengenai agama dan adat istiadat.

Bagi menjalankan pentadbiran dalam negeri, yang dikatakan bersahabat itu, kerajaan British telah membentuk sebuah majlis pentadbiran yang dipanggil 'Dewan Keadilan dan Undang. Anggotanya terdiri dari DYMM Yang DiPertuan Besar sebagai Pengerusi, Resident British, Datuk-datuk Undang yang Ampat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Datuk Shahbandar dan seorang ketua kaum Cina, manakala seorang pegawai Inggeris menjadi setiausahanya.

Dewan ini berkuasa membuat undang-undang dan peraturan. Ia dapat diandaikan seperti Exco sekarang, yang berbeza Exco tidak berkuasa membuat undang-undang.
Meskipun dikatakan 'Dewan Keadilan' yang dipengerusikan oleh DYMM itu berkuasa membuat undang-undang dan menjadi pusat cucuran tadbir pemerintahan negeri tetapi nasihat Residen British hendaklah diterima dan dipatuhi. Kebijaksanaan diplomasi Inggeris yang lunak di sebalik menggunakan perkataan 'nasihat' tidak 'perintah' itu menjadikan orang-orang Melayu termasuk orang-orang besar kita khayal dibuai dalam mimpi-mimpi indah yang tidak ramai di antara kita yang menyedari 'mulut disuap pisang, buntut dicangkuk duri'.

SELEPAS PERANG

Setelah Inggeris kembali ke Semenanjung ini sesudah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada penhujung tahun 1945,kerajaan Inggeris telah memaksakan pemerintahan Malayan Union. Dengan itu jadilah negara ini secara langsung terletak di bawah pentadbiran dan jajahan takluk Inggeris.

Isu ini telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu.Dengan perpaduan yang kukuh di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar terbentuklah UMNO.Gagasan Malayan Union yang dipaksakan itu ditentang habis-habisan, akhirnya penjajah Inggeris mengalah dan Persekutuan Tanah Melayu pun dibentuk pada 1hb. Februari 1948.

Dalam masa pentadbiran Malayan Union kira-kira dua tahun lamanya itu kuasa pentadbiran negeri adalah terletak di tangan seorang pegawai Inggeris yang dipanggil 'Resident Commissioner', pegawai Inggeris yang pertama bernama A.J. Colder. Raja dan Undang yang sebelum perang sebanyak sedikit boleh bersuara dalam Dewan Keadilan dan Undang, tetapi dalam pemerintahan Malayan Union , 'Dewan' ini tidak wujud lagi.

Setelah 'Persekutuan Tanah Melayu' terbentuk pada tahun 1948 itu, maka corak pemerintahan Negeri Sembilan dan lain-lain negeri di Semenanjung turut berubah. Selain dari Pulau Pinang dan Melaka, semua sembilan buah negeri Melayu yang beraja telah melantik ketua-ketua pentadbirnya dengan nama 'Menteri Besar'. Bagaimanapun oleh kerana negeri ini masih lagi dijajah, maka kerajaan Inggeris tetap juga meletakkan seorang pegawai Inggeris yang telah ditukar namanya dari 'British Resident' sebelum perang dan 'Resident Commissioner' dalam masa Malayan Union kepada 'British Adviser' atau Penasihat British'.

Dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu ini bermulalah satu babak baru dalam pentadbiran negeri. Kalau sebelumnya Negeri Sembilan belum ada perlembagaan yang bertulis tetapi sebaik-baik sahaja Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pentadbiran Negeri Sembilan juga turut menerima perubahan, sebuah perlembagaan yang bertulis telah dikanunkan.

Dengan berkuatkuasanya perlembagaan ini maka terbentuklah sebuah dewan undangan yang dinamakan Majlis Undangan Negeri (State Legislative Council) dengan semua ahlinya dilantik oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dengan persetujuan Undang yang Ampat.

Majlis Undangan ini dianggotai seramai 27 orang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.

MAJLIS UNDANGAN NEGERI

Ruang Majlis Undang Negeri yang pertama telah ditempatkan di tingkat atas di hujung Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lama. Di bawah dewan tersebut terletak Mahkamah Tinggi. Persidangan pertama telah diadakan pada tahun 1948. Ahlinya terbahagi kepada dua bahagian, sebahagian dikenal dengan nama 'ahli rasmi' dan sebahagian lagi ' ahli tidak rasmi'.

Ahli rasmi terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan yang berjawatan iaitu Menteri Besar, Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Penasihat Undang-undang, Pegawai kewangan dan Pegawai Daerah Seremban iaitu daerah yang terkanan.

Manakala ahli tidak rasmi pula adalah ahli-ahli yang dilantik yang terdiri dari tokoh-tokoh masyarakat yang terkenal, biasanya secara tidak lansung ketua-ketua atau pemimpin-pemimpin bangsa, Melayu, Cina, India dan adakalanya ketua-ketua orang-orang Eurasian. Semua perlantikan ini terpulang kepada budibicara Yang DiPertuan dan Undang dengan nasihat dari Penasihat British. (Senarai ahli-ahli yang pertama dilantik setelah Persekutuan Tanah Melayu wujud).

Pengerusi Persidangan dengan sendirinya ialah Menteri Besar. Menteri Besar yang pertama, Datuk A.Malek b. Yusuf dari 1hb., 1948 - 10hb. Ogos, 1950.

PILIHANRAYA PERTAMA 1955

Setelah pilihanraya pertama diadakan pada tahun 1955 kedudukan keanggotaan ahli-ahli Majlis Undangan Negeri ini telah berubah. Dua belas orang dari 24 orang anggota-anggota terdiri dari ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat dan 12 orang lagi ahli yang dilantik.

Kali pertama juga dalam sejarah Majlis Undangan Negeri, seorang pengerusi majlis yang dipanggil 'Speaker' telah dilantik dari seorang ahli yang dipilih. Orang yang pertama diangkat menjadi Speaker ialah YB.Cikgu A.Wahab bin Idus, wakil dari kawasan Tampin.

Majlis Undangan yang berbentuk demikian berjalan sehingga pilihanraya 1959. Pilihanraya kali kedua ini - negara telah mencapai kemerdekaan. Dengan berlangsungnya pilihanraya kali yang kedua ini tercatatlah satu lagi lembaran sejarah dan pentadbiran negeri yang amat bererti bagi pejuang-pejuang politik kerana hasil keringat mereka untuk mendapatkan kemerdekaan telah tercapai. Keseluruhan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dipilih oleh rakyat selain dari membebaskan negara dari cengkaman penjajah Inggeris. Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. perjuangan merebut kemerdekaan berjalan dengan licin melalui saluran politik dan perlembagaan meskipun tidak sedikit peluh dan air mata yang bercucuran membasahi persada tanahair.

Majlis Undangan Negeri ini kemudiannya ditukar dengan nama Dewan Undangan Negeri. Seramai 24 orang ahli yang dipilih oleh rakyat termasuk Menteri Besarnya sekali. Dr.Mohd Said bin Muhammad, wakil rakyat Linggi, adalah Menteri Besar yang pertama, manakala ahli-ahli Exconya terdiri dari Idris bin Matsil, A.Samad bin Idris, Ariffin bin Ali, Lee Tee Siang, Lim Kee Siong, V. Letchumanan, Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri turut menganggotai Exco atas nama jawatan 'Ex-officio', pegawai-pegawai ini tidak ada hak mengundi.

Pada tahun 1960, bangunan Dewan Undangan Negeri telah dipindahkan dari tempat lama ke bangunan baru. Bangunan ini adalah bangunan ini adalah bangunan Sungai Ujung Club iaitu sebuah kelab yang khusus ahlinya untuk orang-orang kulit putih saja (keahliannya dibukakan kepada orang-orang bukan kulit putih beberapa tahun selepas perang).

Persetujuan telah dicapai di antara kerajaan negeri dengan ahli-ahli kelab ini agar mereka berpindah kebangunan yang ada sekarang (dulunya Istana Hinggap). Bangunan ini telah diubahsuai selaras dengan sebuah Dewan Undangan Negeri, kerana bangunan ini agak besar dan luas, maka sebahagian darinya dijadikan bangunan Mahkamah Tinggi dan sebahagian lagi dijadikan Pejabat Pertanian Negeri. Bangunan ini telah digunakan selama 26 tahun sehingga bangunan baru yang ada sekarang ini siap untuk digunakan.

Sejarah Ulama TOK KENALI (1868 – 1933)






Ketika kami Sidang Pengarang memilih "Tok Kenali" sebagai penghormatan untuk menghiasi kulit keluaran pertama majalah Pengasuh 1975, maka pemilihan itu bukan saja kami landaskan atas asas ketokohan ulung beliau sebagai ulama besar di zamannya, malah kami landaskan juga atas fakta beliau selaku pendorong dan pengasas majalah Pengasuh yang diterbitkan bagi pertama kalinya pada tahun 1918. Majalah Pengasuh adalah sama tua dengan majalah "Seri Pustaka" Indonesia yang diterbitkan dalam tahun 1918 oleh Balai Pustaka dan di Malaysia majalah Pengasuh merupakan majalah tertua yang kedua sesudah majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahamad Al-Hady pada tahun 1906.



Walaupun Tok Kenali bukan seorang penulis yang konsisten seperti Syed Sheikh , namun beliau adalah seorang penulis yang mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas. Seandainya beliau tidak dihambatkan oleh tugas-tugas yang banyak dan terus menulis dengan tekun, beliau tidak syak lagi dapat dideretkan sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang merintis alam penulisan tanahair.

Tok Kenali sejak dari muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi berhadap tugas-tuga penulis dan peranan majalah-majalah adan suratkhabar-suratkhabar selaku mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu dan atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam walaupun dapatlah kita teliti dari pernyataan-pernyataan belau yang tegas dalam tulisannya di bilangan pertama Pengasuh. Antara lain beliau menulis :

"Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok."

"Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap buah negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunyai oleh anak-anak negeri sendiri supaya menempati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan ugama."

"Cuba anakku tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan, maka di situlah "Pengasuh" bertimpuh (duduk) membedakkan sekalian yang hadhir dengan bedak pengharapan, mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanahair dan menunjukkan kepada Raja."

Tok Kenali satu-satunya ulama kesayangan semua lapisan rakyat yang tiada tolok bandingnya. Kisah hidup beliau merupakan legenda-legenda yang diperkatakan mereka di segenap pelosok negeri hingga ke zaman ini.

Beliau menjadi begitu popular bukan sahaja kerana ilmu pengetahuan ugamanya yang tinggi dan akal fikirannya yang tajam dan bijaksana, malah kerana sifat-sifat kejujuran , rendah diri, peramah, pemurah, cara hidupnya yang zahid, bersahaja dan darwis iaitu sifat-sifat yang menjadi pakaian hidupnya sejak sebagai seorang pelajar di kota suci Makkah hingga sebagai ulama terbilang di tanahairnya. Beliau melayani yang bodoh sama dengan beliau melayani yang cerdik, beliau menghormati kanak-kanak sama dengan beliau menghormati orang-orang dewasa. Beliau tidak pernah menghampakan pemberian dan jemputan dari siapa saja. Dan jika diberi, maka pemberian-pemberian itu akan dibahagikan pula kepada orang-orang sekelilingnya dan apabila dijemput maka beliau akan tampil menjadi tukang masak. Inilah sifat-sifat dan cara-cara hidup beliau yang membuat setiap orang yang berhubung dengan beliau menyimpan kenangan-kenangan yang indah terhadapnya.

Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulama yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran "Tok" yang digandingkan dengan nama-nama tempat atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau menaburi bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang mencermin ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Diantara ulama-ulama itu Tok Khurasan, Tok Bachok, Tok Kemuning, Tok Selehor, Tok Mesir dan lain-lain. Tuan Tabal juga termasuk ulama yang diabadikan dengan nama sebuah kampung.

Tetapi Tok Kenali bukanlah sekadar menjadi lambang kemegahan tempatan Kelantan, malah kemasyhuran.

Beliau menjangkau jauh di luar perbatasan Malaysia. Beliau dapatlah didirikan sejajar dengan tokoh-tokoh Nusantara lain yang berjasa di zamannya memberi sesuatu sumbangan yang berkesan kepada masyarakatnya.

Walaupun Tok Kenali tidak meninggal hasil-hasil karya yag besar dalam mana-mana bidang pengajian Islamiah, namun jasa beliau yang paling besar ialah kejayaannya melahirkan satu angkatan ulama yang memegang obor pengajian tinggi Islam bukan di negeri Kelantan dan Malaya, malah di Thailand, Kemboja dan Indonesia di separuh pertama abad dua puluh. Beliau juga telah berjaya membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, nahu saraf, balaghah dan ‘arudh di dalam sistem pelajaran Pondok di negeri ini. Keahlian beliau dalam bidang-bidang itu merupakan legenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman itu. Dalam kebanyakan waktu beliau mengajar tanpa kitab.

Tidak seperti kebanyakan ulama yang lain di zamanya, Tok Kenali tidak hanya aktif di sekitar Surau atau Pondoknya saja, malah aktif dalam bidang kegiatan kemasyarakatan dan pentadbiran negeri, di mana beliau disahabati dan dirundingi oleh pembesar-pembesar negeri terutama rakan karibnya Dato’ Perdana Menteri Kelantan almarhum Haji Nik Mahmud Ismail (ayahanda Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Dato’ Nik Mustafa Fadhil). Hakikat ini dapatlah di perhatikan dari jawatan-jawatan yang disandang semasa hidupnya iaitu selaku anggota Majlis Ugama Islam, anggota Jemaah Ulama Kelantan, Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh dan Ketua Pelajaran Ugama. Seluruhnya merupakan jawatan-jawatan penting yang memerlukan pandangan-pandangan yang tajam dan pergaulan yang luas.

Tok Kenali telah dilahirkan di Kampung Kenali pada tahun 1868 dari satu keluarga kaum tani yang saleh. Nama tubuh beliau Muhamad Yusuf bin Ahmad dan nama timangan "Awang", satu nama sentimental yang amat disukai beliau. Majalah Pengasuh keluaran pertama memperkenalkan pengarangnya sebagai "Al-Fadhil Tuan Haji Awang Kenali" dan almarhum Al-Sultan Muhammad yang Keempat menyebut nama beliau dalam titah ucapan melantik beliau selaku anggota Majlis Ugama Islam dengan nama "Haji Awang Muhammad Yusuf Kenali".

Beliau dilahir dan dibesar remajakan dalam zaman permerintahan seorang Raja negeri Kelantan yang agung iaitu almarhum Al-Sultan Muhammad yang Kedua yang terkenal dengan gelaran "Sultan Mulut Merah". Beliau dilahirkan kira-kira setahun selepas dibina Masjid Besar Kota Bharu (masjid kayu) yang sesuku abad kemudian menjadi gelanggang keguruan dan kegiatan ilmiahnya yang mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Tenggara Asia.

Dari sejak kecil lagi beliau memperlihatkan tanda-tanda kecerdasan yang luar biasa dan kecenderungan kepada ilmu pengetrahuan yang tidak pernah puas. Menurut Abdullah Al-Qari Haji Salleh, Tok Kenali telah melanjutkan pelajaranya di Kota Bharu dalam usia kira-kira sepuluh tahun dengan berguru pada para ulama yang terkenal di zaman itu, di antaranya ialah Encik Ismail (ayah kepada Dato’ Perdana Menteri almarhum Haji Nik Mahmud), Tuan Guru Asy-Syaikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman yang terkenal dengan "Wan Ali Kutan", Tuan Guru Haji Taib Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor.

Wednesday, 21 February 2007

Atlet wanita Malaysia wajar contohi Ruqaya - jurulatih






KOTA BHARU, 18 Feb – Jurulatih kepada juara acara 200 meter Sukan Asia di Doha tahun lalu, Nuruddin Tajr mencadangkan atlet Malaysia yang beragama Islam mencontohi Ruqaya Al Ghasara menjaga aurat ketika bersukan.

Kata beliau dengan mengenakan pakaian menutup aurat bukan menjadi penghalang seseorang atlet mencatat kejayaan.

Ketika ditemui semasa mengiring atlet itu membeli belah di Bazar Buluh Kubu beliau juga menyokong usaha dilakukan Nisa’ Malaysia menganjurkan sukan berunsur Islam, di mana pesertanya menutup aurat.





“Bahkan saya berharap ia dapat dijadikan contoh kepada mana-mana atlet Islam termasuk Malaysia sendiri,” katanya.
Nuruddin juga berkata, sebelum ini beliau dan Ruqaya tidak pernah diraikan mana-mana kerajaan luar kecuali pemimpin Bahrain selepas kejayaan di Sukan Asia Doha.

Oleh itu beliau merakam ucapan tahniah kepada Nisa’ Malaysia kerana berjaya menganjurkan sukan peringkat nasional walaupun organisasi itu hanya satu badan yang kecil.

“Saya juga melahirkan rasa bangga di atas sambutan Nisa’ dan kerajaan negeri yang diberikan terhadap kami. Sebagai jurulatih Ruqaya saya gembira dan terharu di atas sambutan yang begini hebat,” ujarnya.

Sementara itu, kehadiran Ruqaya di Bazar Buluh Kubu kira-kira jam 11.30 pagi tadi turut disedari orang ramai termasuk beberapa pelancong yang datang sempena cuti Tahun Baru Cina di Kelantan.

Pelancong berkenaan mengambil kesempatan bergambar bersama Ruqaya di samping mendapatkan tandatangannya.

Sebelum itu, Ruqaya turut beraksi di gelanggang bowling di KB Mall Super Bowl ketika berkunjung untuk menyaksikan perlawanan bowling Nisa’ Games.

Pada sebelah petang beliau ke Kompleks Belia Panji untuk menyaksikan pertandingan futsal. Dan petang ini Ruqaya akan ke Stadium Sultan Muhammad ke-1V untuk menyaksikan pertandingan bola tampar dan bola jaring peringkat akhir.

Malam ini beliau dijangka menghadiri majlis penutup Nisa’ Games 2007 yang akan diadakan di Putik.

Tuesday, 20 February 2007

MANUSIA DURJANA






GEORGETOWN: “Saya memang bercadang bawa mereka ke tepi pantai di Batu Uban, Gelugor, untuk berkelah tapi hasrat itu tidak kesampaian,” kata M Sukri Apas, jiran Allahyarham Muhammad Aliff Hakimi, 6, dan adiknya, Muhammad Aliff Hazemi, 17 bulan, yang mati dijerut dengan wayar seterika, kelmarin.

Sukri, 32, berkata sebelum ini, dia ada berbincang dengan ayah kanak-kanak itu mengenai cadangan untuk berkelah di tepi pantai dalam masa terdekat.

Menurutnya, Hakimi dan Hazemi memang cukup rapat dengan tiga anaknya dan mereka sering bermain bersama.



Bagaimanapun, katanya, dia amat terkejut apabila ibu kanak-kanak itu datang ke rumahnya pagi kelmarin dan memberitahu dia sudah membunuh kedua-dua anaknya.

Katanya, wanita itu mengetuk pintu rumahnya yang terletak bersebelahan kira-kira jam 6.30 pagi dan mengajak isterinya, Manisah Nasir, 35, ke rumahnya.

Sukri yang berada dalam rumah, mengikut isterinya ke rumah wanita itu, sebaik tiba, mereka terkejut melihat dua kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa.

Berikutan itu, katanya, dia bergegas ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mulanya saya tak percaya kerana sebelum atau ketika kejadian, saya tak dengar sebarang bunyi bising di rumah wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui di Batu Maung, di sini, semalam.

Sukri berkata, dia sedih melihat keadaan dua beradik tidak berdosa itu dalam keadaan tidak bernyawa.

Katanya, dia dan bapa kanak-kanak itu berkawan sejak lima tahun lalu dan sama-sama bekerja di syarikat kontena di Bayan Lepas serta tinggal berjiran sejak lebih setahun lalu.

“Apa yang pasti, kelakuan suami isteri itu biasa saja dan mereka tak tunjukkan sebarang masalah, malah tak pernah ceritakan apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Hakimi dan Hazemi mati disyaki dibunuh ibu sendiri yang mengalami tekanan perasaan kira-kira jam 11 malam kelmarin, dipercayai selepas mengetahui suaminya bermain kayu tiga dengan wanita lain.

Akibatnya, ibu berusia 30 tahun itu dipercayai membunuh dua anak lelakinya itu dengan menjerut leher mereka menggunakan wayar seterika di rumah berkenaan.

Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat, manakala ibu dan bapa mereka kini ditahan untuk membantu siasatan polis.

Siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Nenek terkejut terima khabar cucu dibunuh

GEORGETOWN: “Mak, datang cepat ke rumah, dia dah buat perkara tak elok pada Hakimi dan Hazemi, sambil menangis dalam telefon,” cerita nenek kepada dua beradik yang dipercayai mati dibunuh oleh ibunya di Batu Maung, semalam.

Wanita dikenali sebagai Mak Bedah, 60-an, dari Kampung Bukit Kecil, Batu Maung, di sini, berkata dia menerima panggilan daripada anak lelakinya iaitu bapa kepada Muhammad Alif Hakimi dan Muhamad Aliff Hazemi kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, dalam perbualan telefon itu, anak lelakinya menyuruh datang segera ke rumahnya di Taman Indah, Batu Maung kerana memberitahu isterinya sudah membunuh dua anak pasangan berkenaan.

Katanya, dalam keadaan terkejut, dia datang ke rumah anaknya kira-kira lima kilometer dari rumahnya dan mendapati dua cucunya sudah meninggal dunia.

“Saya diberitahu dua cucu dibunuh dengan menggunakan wayar seterika dan kejadian itu benar-benar mengejutkan dan tidak sangka pula menantu sanggup melakukan perkara seteruk itu,” katanya.

Syak suami main kayu tiga

GEORGETOWN: Seorang suri rumah yang hilang pertimbangan selepas mengesyaki suaminya bermain kayu tiga bertindak di luar batasan apabila disyaki membunuh dua anak lelakinya di Taman Indah, Batu Maung, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 11 malam kelmarin hingga jam 6 pagi semalam di sebuah pangsapuri, bagaimanapun hanya disedari kira-kira jam 6.30 pagi selepas wanita itu memaklumkan perkara itu kepada jiran.

Difahamkan, suspek menjerut dua anaknya sehingga mati dengan wayar seterika di dalam bilik tidur rumahnya.

Dalam kejadian itu, Muhammad Alif Hakimi, enam tahun, dan Muhammad Alif Hazemi, 17 bulan, ditemui mati di atas tilam di tingkat bawah katil dua tingkat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin, berkata sebelum kejadian, suspek berusia 30 tahun dipercayai menghantar SMS kepada suaminya kira-kira jam 11 malam memintanya pulang ke rumah.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya berusia 31 tahun tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai pemandu lori, dan pulang ke kediaman keluarga itu kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya, selepas pulang ke rumah menyangka dua anak lelakinya itu sedang tidur di bilik kedua menyebabkan lelaki itu terus tidur tanpa mengesyaki apa-apa berlaku di dalam rumahnya sehingga jam 6 pagi.

“Kira-kira jam 7.40 pagi, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang juga jiran mengenai satu kes pembunuhan dan sepasukan anggota pergi ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Semasa tiba di tempat kejadian didapati dua beradik malang itu sudah meninggal dunia dalam keadaan terlentang di atas katil di dalam sebuah bilik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Mohd Hatta berkata, mayat kanak-kanak malang itu ditemui berada berdekatan antara satu sama lain, manakala bapa kanak-kanak terbabit sedang tidur di bilik bersebelahan.

Menurutnya, lelaki itu terkejut bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku apabila dimaklumkan kedua-dua anaknya sudah meninggal dunia selepas diarahkan bangun dari tidur.

Katanya, dia sempat memeluk tubuh kedua-dua anaknya yang sudah meninggal dunia sebelum polis menahannya bersama isteri untuk membantu siasatan.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Sementara itu, Pakar Patologi HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh ketika dihubungi mengesahkan hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mati akibat mati dijerut dengan tali.

Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 12 jam yang lalu sebelum ditemui pihak polis.

Rahsia Ruqaya cipta nama Sukan Asia 2006






KOTA BHARU, 20 Feb – Ruqaya Al Ghasara, 24 kini menjadi ikon bagi atlet olahraga wanita Muslim setelah mengungguli acara 200 meter Sukan Asia Doha 2006, Disember lalu.

Biar pun berlari sambil bertudung pingat emas bagi acara itu tetap menjadi miliknya. Sebenarnya apa rahsia di sebalik kejayaan wanita Bahrain terbabit.

Jurulatihnya, Nuruddin Tajr lulusan sarjana dalam bidang sains sukan berkata, kestabilan pecutan selepas memulakan larian merupakan rahsia kejayaan Ruqaya memenangi larian 200 meter.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama yang menentukan kejayaan bagi acara larian pecut pertama, proses permulaan, kedua pecutan dan ketiga kestabilan pecutan.

“Kira-kira 10 peratus permulaan permainan kurang penting, tetapi kestabilan semasa memecut merupakan faktor utama yang akan menentukan kemenangan dan kekalahan pelari tersebut,” katanya.

Beliau mengakui kehebatan Ruqaya yang luar biasa biar pun mengalami sakit telinga tiga hari sebelum bertanding, namun dia tetap ingin meneruskan larian dalam keadaan hari hujan.

“Bagaimanapun semasa acara larian pecut 100 meter, Ruqaya terlambat memulakan larian sehingga menyebabkan dia lambat untuk stabil dan akhirnya hanya mendapat tempat ketiga,” katanya pada bengkel mengenai teknik dan tips olahraga bersama pelajar di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjur Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Kelantan.

Menurut Nuruddin ketika itu Ruqaya diselubungi perasaan gemuruh memandangkan ia merupakan kali pertamanya memasuki gelanggang olahraga peringkat antarabangsa, biar pun sudah berlatih kira-kira lima tahun.

Mengenai keselesaan bertudung semasa memecut, Nuruddin menjelaskan tiada sebab mengapa Ruqaya yang telah memakai tudung sejak kecil harus menanggalkannya semata-mata untuk berlari.

Tambah beliau pemakaian tudung tidak menghalang kelajuannya ketika berlari.

“Bahkan beliau percaya dengan mengamalkan suruhan Allah memberikan kekuatan dan semangat kepada dirinya untuk menempa kejayaan,” katanya pada program yang dihadiri kira-kira 100 pelajar yang merupakan atlet remaja di bawah kelolaan Majlis Sukan Negeri.

Pada program itu atlet muda berpeluang berinteraksi secara langsung bersama Ruqaya serta jurulatihnya mengenai teknik dan kaedah olahraga yang betul.

Penganjur juga mengadakan gimik pertandingan olahraga dengan disaksikan kedua-dua tetamu khas tersebut, kemudian diberi peluang mereka mengemukakan komen.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri, Abdul Fattah Mahmood.

Nuruddin juga berkata, kerajaan Jepun turut menjemput Ruqaya beraksi dalam acara berprestij di negara berkenaan tahun ini.

KELANTAN CIPTA PAKAIAN KHAS UNTUK ATLET WANITA






PENGKALAN CHEPA, 19 Feb – Bagi memastikan penglibatan atlet-atlet wanita Islam dalam acara sukan tanpa mengabaikan masalah aurat, kerajaan Kelantan sedang menyiapkan reka bentuk pakaian tersebut.




Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Fattah Mahmood berkata, kerja-kerja menyiapkan reka bentuk pakaian khas bagi atlet wanita itu kini kira-kira 70 peratus siap.

“Insya Allah pakaian itu akan ditonjolkan pada Sukma Malaysia (Sukma) 2008 yang akan dipakai bagi atlet wanita dari Kelantan. Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan penggunaan pakaian itu kepada Majlis Sukan Negara bagi mendapat kelulusan.



“Pakaian itu yang mencerminkan identiti wanita Islam ketika menyertai acara sukan. Ini sebenarnya menjelaskan agama Islam tidak membatas penglibatan wanita dalam sukan, dengan syarat mematuhi ketetapan syarak,” katanya pada perasmian penutup kejohanan Nisa’ Games 2007 di Putik, malam tadi.

Nisa Games yang julung kali diadakan melibatkan penyertaan lebih 1,000 atlet wanita dari seluruh negara yang berentap dalam lima acara iaitu badminton, bola tampar, futsal, bowling dan bola jaring. Atlet yang terlibat termasuk bukan Islam.

Kejohanan itu diadakan selama dua hari berakhir semalam. Perasmiannya diadakan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat malam 17 Febuari lalu.

Acara tersebut mendapat sambutan ramai, lebih-lebih lagi dengan kehadiran jaguh pecut 200 meter Sukan Asia di Doha 2006, Ruqaya Al Ghasara.




Abdul Fattah berkata, dengan adanya pakaian khas untuk bersukan di kalangan wanita, ramai bakat baru dapat dicungkil, memandangkan sebelum ini mereka enggan terlibat kerana berdepan dengan masalah pakaian menutup aurat.

“Biar pun bersukan, bagi wanita Islam mereka mesti menjaga maruah dan martabat sebagai seorang Muslim,” katanya.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, masalah halal dan haram dalam aktiviti bersukan adalah menjadi keutamaan bagi atlet-atlet wanita Islam.

Menurutnya, prinsip syariat tidak boleh dikesampingkan kerana kehidupan bagi orang Islam perlu menjurus kepada ketaqwaan.

“Sebab itu Islam meletak wanita di tempat yang sewajarnya bagi meningkatkan martabat mereka. Sedangkan barat cuba merendahkan maruah wanita dengan memperkenalkan cara berpakaian yang menjolok mata,” katanya ketika merasmikan penutup Nisa’ Games 2007.


Ruqaya pula berkata, biar pun beliau melibatkan diri dalam acara sukan di peringkat dunia, namun masalah aurat tetap dijaga.

“Contoh terbaik bagi seseorang wanita Islam ialah menjaga aurat di mana sahaja mereka berada,” katanya sambil melahirkan rasa seronok dan gembira berada di Kelantan.

Penyampaian hadiah kepada setiap pemenang acara yang dipertandingkan disampaikan isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Zubaidah Abdul Hamid dan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Bagi acara futsal dimenangi pasukan dari Kuala Lumpur, kedua (Pulau Pinang) dan ketiga Terengganu serta Tumpat. Pasukan Kota Bharu pula mengungguli acara bowling, tempat kedua, Pulau Pinang dan ketiga Perak.

Badminton – pertama (Tumpat), kedua (Kubang Kerian) dan ketiga (Terengganu dan Pasir Puteh). Bola tampar – pertama (Kota Bharu), kedua (Terengganu) dan ketiga (Tumpat dan Wilayah Persekutuan).

Bola jaring – pertama (Wilayah Persekutuan), kedua (Gua Musang) dan ketiga (Sabah serta Tanah Merah). Kesemua perlawanan hadiah yang ditawarkan bagi tempat pertama wang tunai sebanyak RM1,000, kedua (RM600) dan ketiga (RM400) berserta medal.

Monday, 19 February 2007

FESTIVAL NASYID SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DAN SAUDARA KITA 1428H/ 2007M


SABTU, 11 FEBRUARI 2007 - Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama Nasyeed.com telah menganjurkan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Menengah dan Saudara Kita 1428H/2007M di pentas utama Kompleks PKNS Shah Alam. Sebanyak 10 kumpulan telah berjaya ke peringkat akhir. Pertandingan bermula pada jam 2.15 petang dengan diadili oleh juri-juri profesional yang dijemput khas. Setiap peserta dinilai dari segi persembahan, vokal, penampilan, alat-alat muzik iringan dan lagu.Pertandingan ini telah dimulakan pada peringkat saringan pada 5 Februari 2007 kerana penyertaan melebihi 10 buah kumpulan nasyid.






Peserta yang mengenengahkan lagu dan lirik ciptaan sendiri akan mendapat markah bonus 5 markah setelah memberikan senikata secara bertulis dan senilagu dalam bentuk audio kepada pihak penganjur bagi tujuan pengesahan pihak juri. Lagu nasyid terbahagi kepada dua kategori iaitu nasyid tradisional dan nasyid Moden. Lagu yang berkonsepkan Nasyid Tradisional bermaksud lagu yang mengandungi salah satu dari unsur-unsur Bayati, Nahwan, Sikah, Ras, Sobah, Hijaz dan Jiharkah. Manakala lagu yang berkonsepkan Nasyid Moden bermaksud lagu yang mengndungi salah satu dari unsur-unsur Kontemporari, Pop, Jazz, Bluess, Irama Malaysia, Balada dan lirik dalam bahasa Arab atau Inggeris hendaklah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Keputusan pertandingan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Menengah dan Saudara Kita adalah seperti berikut:-

KEDUDUKAN KUMPULAN ALAMAT HADIAH
JOHAN ZAUFAN SM SAINS KUALA SELANGOR
45000 KUALA SELANGOR RM 3,000.00
NAIB JOHAN MUSSAQAF ALHAM SMK SRI ANDALAS,JALAN SRI DAMAK 10,
TAMAN SRI ANDALAS KLANG RM 2,000.00
KETIGA SYAFRAN SMK DATO' HARUN,TANJUNG KARANG,
45500 TANJUNG KARANG RM 1,000.00
KEEMPAT SHOUTUL MUJAHIDIN KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH,
PETI SURAT 64, KLANG RM 500.00
KELIMA SOUL GHAMIDI SAMT HISAMUDDIN, JALAN KOTA RAJA,
KLANG RM 500.00

Wednesday, 7 February 2007

Onde-Onde Ragut Nyawa

SHAH ALAM: “Saya rasa pelik sikit apabila Anis beriya-iya menyuruh saya masak roti telur pada malam sebelum kejadian, sedangkan setahu saya dia lebih suka makan kuih manis ketika sarapan.

“Berselera sungguh dia makan roti telur itu ketika dalam perjalanan ke sekolah. Tapi saya sungguh tak sangka itu permintaan terakhirnya sebelum meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Salasiah Ismail, 31, ibu kepada Anis Shuhaida Amar, 11, murid tahun lima yang meninggal dunia kerana tercekik kuih onde-onde (buah melaka) di kantin Sekolah Rendah Kebangsaan TTDI Jaya di sini, pagi kelmarin.
Salasiah yang masih terperanjat dengan pemergian mengejut Anis berkata, sebelum ini dia pernah beberapa kali menegur anak sulung daripada tiga beradik itu kerana terlalu suka memakan kuih dan makanan agak manis.“Saya anggap ini suratan takdir yang ditentukan Allah. Sebagai hamba-Nya, saya reda dengan qada dan qadar. Sekurang-kurangnya, dia pergi dengan cara yang baik,” katanya kepada Harian Metro, malam tadi.Anis dikatakan tercekik kuih itu pada waktu rehat di kantin sekolah sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Selangor (SMC).
Bagaimanapun, Anis disahkan meninggal dunia setibanya di SMC.Menceritakan kejadian itu,
Salasiah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada guru Anis yang menyatakan anaknya pengsan selepas memakan kuih itu dan memintanya bergegas ke SMC.“Pada mulanya, saya ingatkan dia pengsan akibat keletihan. Pening saya memikirkan punca dia pengsan kerana dia tidak pernah mengadu sebarang masalah atau menghidap penyakit serius sebelum ini.“Hati saya berdebar-debar sepanjang perjalanan ke hospital. Rasa nak menjerit dan lemah seluruh badan apabila doktor mengatakan dia sudah meninggal dunia setiba saya di SMC,” katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 20, Shah Alam, malam kelmarin.Salasiah berkata, Anis bercita-cita menjadi doktor dan banyak menghabiskan masa menghias bilik beberapa hari sebelum kejadian.“Oleh kerana dia dilahirkan secara pembedahan, Anis selalu bergurau dengan saya bahawa dia sudah dianugerahkan bakat untuk menjadi doktor sejak azali lagi.
“Sikap periangnya itu membuatkan saya tak kisah dengan hobi menghias biliknya. Hari terakhir sebelum kejadian pun, dia masih sibuk mengemas bilik,” katanya.Suaminya, Amar Sidek, 40, seorang jurutera swasta pula berkata, dia tidak menyalahkan pentadbiran sekolah mengenai kejadian itu tetapi meminta semua pihak menitikberatkan soal keselamatan dan latihan kecemasan di kalangan murid sekolah.“Saya tak salahkan sesiapa.
Saya anggap ini takdir walaupun sedih kehilangan anak yang periang dan manja,” katanya.Sementara itu, Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah TTDI Jaya, Siti Rubiah Abdul Halim, berkata seorang guru bertugas berada di kantin ketika kejadian tetapi enggan mengulas lanjut berhubung tindakan yang diambil guru berkenaan.Beliau berkata, kejadian yang menimpa Anis adalah pertama kali berlaku di sekolah yang mempunyai 1,349 murid itu dan berharap ia tidak akan berulang.
Ditanya sama ada tindakan menamatkan tender akan diambil terhadap pengusaha kantin di sekolah itu, beliau berkata, ia urusan dalaman antara pentadbiran sekolah dan pihak berkenaan. Sementara itu, keluarga mangsa difahamkan tidak akan membuat laporan polis tetapi pentadbiran sekolah sudah berbuat demikian.

Friday, 2 February 2007

Perutusan Maal Hijratul 1428

Sekarang kita berada dalam bulan Muharam Tahun 1428 Hijrah. Sudah menjadi kebiasaan diadakan berbagai bentuk sambutan tahun baru hijrah. Bagi kita, sebagai umat Islam yang faham ajaran Islam dan mengetahui tuntutan Islam ke atas diri kita, maka sambutan dan majlis memperingati peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. akan menambah semangat kita di dalam perjuangan menegakkan agama Islam. Sambutan kita bukan sahaja dengan melaungkan slogan atau menaikkan kain rentang sahaja, bahkan diikuti dengan semangat dan cita-cita mahu berhijrah dan mendapat pahala hijrah yang dijanjikan oleh Allah Taala dan rasul-Nya. Janji Allah dan rasul-Nya kepada sesiapa yang berhijrah tetap berlangsung sehingga hari kiamat walaupun hijrah di dalam bentuk lain asalkan maksud dan tujuannya sama sahaja dengan tujuan hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Oleh itu, jika diadakan ceramah-ceramah tentang hijrah, maka kandungan ceramah tersebut mengingatkan kita betapa pentingnya peristiwa hijrah kepada perkembangan Islam, betapa sukarnya melaksanakan perintah hijrah, betapa banyak halangan dan ujian yang dialami oleh orang-orang Islam yang berhijrah. Dan hijrah itu sendiri mengajar kita bahawa mendirikan negara Islam yang melaksanakan hukum Islam dan sistem-sistem Islam adalah wajib sebagaimana telah didirikan oleh Rasulullah s.a.w di Madinah, tempat baginda berhijrah.

Perintah Allah ke atas Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam supaya berhijrah meninggalkan Mekah menuju ke Madinah, bermakna meninggalkan tanah air tumpah darah, rumahtangga, kaum keluarga, harta benda dan sebagainya. Kewajipan menjaga agama dan menegakkan negara yang melaksanakan seluruh ajaran Islam di Madinah wajib diutamakan lebih daripada sayang kepada tanahair, harta benda, saudara mara, binatang ternakan dan barang-barang perniagaan.

Walaupun besar kerugian harta benda dialami oleh orang-orang Islam kerana meninggalkan Mekah tetapi bagi mereka, keredaan Allah lebih daripada segala-galanya dan balasan syurga di hari akhirat mengatasi cinta kepada dunia dan segala isinya. Untung di akhirat adalah untung yang besar walaupun rugi di dunia pada pandangan sesetengah manusia yang menjadi hamba kepada dunia.

Dengarlah cerita seorang sahabat yang bernama Suhaib ar-Rumi, seorang pedagang yang kaya dan mempunyai banyak harta. Apabila Suhaib ar-Rumi mahu berhijrah bersama-sama Rasulullah s.a.w. tetapi beliau dihalang oleh orang-orang kafir Quraisy Mekah. Suhaib bersetuju menyerahkan segala harta kekayaan di Mekah kepada kafir Quraisy asalkan beliau dibenarkan berhijrah menuju ke Madinah.

Akhirnya, Suhaib a-Rumi dibebaskan berhijrah setelah menyerahkan segala harta bendanya kepada kafir Quraisy untuk menyelamatkan iman dan Islam di dalam dirinya dan sebagai menyahut perintah Allah Taala ke atasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. tahu pengorbanan Suhaib yang besar itu, maka baginda bersabda yang bermaksud: Telah beruntunglah Suhaib, telah beruntunglah Suhaib.

Berkenaan dengan kisah ini, Allah menurunkan firman-Nya (maksudnya): Dan ada di kalangan manusia (orang-orang yang beriman) yang menjual dirinya untuk mendapatkan keredaan Allah dan Allah Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya. (Surah al-Baqarah: 207)
Pada hari ini orang Islam takut jadi miskin kerana melaksanakan Islam. Pada hari ini orang-orang Islam sendiri bimbang negara akan mundur jika melaksanakan ekonomi Islam. Pada hari ini orang-orang Islam sendiri tidak yakin kepada undang-undang Islam yang berjaya menghapus berbagai jenayah tetapi mereka percaya kepada undang-undang Barat walaupun jenayah tidak pernah berkurang, kecurian dan rompakan menjadi-jadi. Adakah kita mahu menunggu perompak menggunakan bulldozer atau peluru berpandu ketika merompak, barulah kita tergesa-gesa melaksanakan hukum Islam?

Walaupun menyambut tahun hijrah, namun semangat mahu berhijrah daripada undang-undang jahilah kepada undang-undang Islam tidak ada di dalam diri kita. Semangat mahu berhijrah meninggalkan sistem-sistem barat masih belum ada di dalam masyarakat Islam. Semangat mahu berhijrah daripada perangai dan akhlak buruk kepada Islam tidak ada di dalam diri umat Islam.

Maka, kalau ada sambutan Maal Hijrah atau seumpamanya, ia tidak membawa apa-apa guna. Kalau ada sambutan seperti itu sahaja tanpa ada perasaan dan usaha mahu membuat perubahan, maka sambutan seperti itu sia-sia sahaja, apa lagi sekiranya disambut oleh orang-orang yang jelas sekali menentang Islam.

Semasa peristiwa hijrah, di kalangan mereka yang berhijrah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. itu ada yang memesongkan niatnya kepada kepentingan dunia semata-mata dan tidak ikhlas. Walaupun pada zahirnya dia berhijrah tetapi hatinya menuju ke arah lain, bukan untuk Islam dan perjuangan Islam, jadilah hijrahnya sia-sia sahaja.

Pada masa itu ada seorang lelaki Islam yang berhijrah kerana mahu berkahwin dengan seorang perempuan yang yang turut sama berhijrah ke Madinah. Perempuan itu mensyaratkan bahawa untuk berkahwin dengannya, maka lelaki tersebut mesti berhijrah bersama-samanya ke Madinah. Rasulullah s.a.w. mengetahui tujuan lelaki itu lalu bersabda (maksudnya): Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia, maka dia akan dapat dunia atau kerana perempuan, maka dapatlah dia berkahwin dengannya. Maka hijrahnya itu, ganjarannya berdasarkan kerana apa dia berhijrah.

Oleh kerana banyaknya ujian di dalam melaksanakan hijrah sama ada sayang untuk berpisah daripada tanahir, kaum keluarga dan harta benda, enggan untuk bersusah payah di dalam menegakkan agama Allah, maka ada orang-orang Islam yang tidak jadi berhijrah meninggalkan Mekah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w.

Maka apabila berlakunya peperangan Badar antara tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar yang melawan tentera kafir Quraisy di bawah pimpinan Abu jahal, tiba-tiba ada beberapa orang Islam yang tidak mahu berhijrah telah berperang di pihak tentera kafir Quraisy kerana dipaksa atau kerana malu kepada permimpin-pemimpin kafir Quraisy.

Apabila mereka mati terbunuh, maka ditanya oleh malaikat-malaikat yang mencabut nyawa mereka: Kenapa kamu berperang bersama-sama golongan kafir Quraisy? Mereka menjawab: Kami tertindas dan kami terpaksa. Namun jawapan mereka tidak melepaskan mereka daripada siksaan api neraka.

Cerita mereka disebut di dalam firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya orang-orang (yang tidak berhijrah tanpa uzur dan berperang pula di sebelah pihak kafir Quraisy Mekah) yang dimatikan oleh malaikat-malaikat di dalam keadaan mereka menzalimi diri mereka sendiri, malaikat bertanya: Mengapa kamu jadi begini? Mereka menjawab: Kami golongan yang tertindas di muka bumi. Malaikat bertanya lagi: Bukankah bumi Allah begitu luas dan kamu boleh berhijrah ke mana-mana? Mereka itu, tempat tinggal mereka adalah neraka jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah an-Nisa: 97)

Kalau orang-orang Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak mahu berhijrah tanpa uzur, maka orang-orang Islam pada hari ini juga tidak mahu berhijrah kembali semula kepada ajaran Islam. Mereka sanggup bersatu padu dengan golongan yang menentang ajaran Islam. Mereka menyokong golongan yang menentang hukum Islam. Mereka bersama-sama golongan yang merosakkan masyarakat dengan berbagai program. Maka jika mereka mati di dalam keadaan tersebut dan tidak sempat bertaubat, dibimbangi hukuman Allah ke atas mereka sama sahaja dengan golongan yang disebut oleh Allah Taala di dalam firman-Nya tadi.

Sekiranya ada orang-orang Islam yang masih mahu tinggal di Mekah, tidak mahu berhijrah walaupun diperintah oleh Allah, walaupun Mekah dipimpin oleh golongan yang menentang Allah, Rasulullah, menyeksa orang-orang yang beriman, memaksa orang-orang beriman meninggalkan agama, maka jangan kita hairan jika ada di kalangan orang-orang yang mengaku Islam pada hari ini merasa senang dan bahagia hidup walaupun berada di bawah pemerintahan yang bercanggah dengan Islam, walaupun di kiri kanan mereka maksiat dan khianat bermaharaja lela, walaupun ajaran Islam dan sekolah-sekolah yang mengajar agama Islam mahu ditutup dan sebagainya sedangkan hijrah yang sebenar, yang dituntut oleh Islam ialah meninggalkan perkara yang bercanggah dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kita diperintah supaya meninggalkan saki baki kufur dan syirik sekiranya masih ada di dalam diri kita. Kita diperintah membuang fahaman-fahaman dan pandangan-pandangan yang bercanggah tentang Islam yang masih berkubu di dalam kepala kita. Kita diperintah membuang jauh-jauh undang-undang dan hukum yang berlawanan dengan undang-undang Islam yang masih terpacak kukuh di dalam tanahair umat Islam.

Dan kita diperintah supaya membersihkan diri daripada ideologi-ideologi dan fahaman-fahamn sesat dan karut marut seperti kapitalis, sosialis, nasionalis dan sebagainya yang masih menjadi kebanggaan sebahagian orang-orang Islam pada hari ini. Hijrah seperti ini masih berterusan dan dituntut ke atas umat Islam sehingga akhir zaman kerana sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Tidak ada lagi hijrah (daripada Mekah ke Madinah) selepas pembukaan Mekah tetapi yang masih ada ialah jihad (menegakkan Islam) dan niat (untuk mempertahankan Islam).

Hijrah yang wajib, yang tetap ada hari ini ialah jihad menegakkan agama Allah, jihad menentang segala kemungkaran, jihad meninggalkan segala perkara yang dimurkai Allah, jihad menolak segala bentuk syirik sama ada pada zat Allah atau pada nama-nama-Nya atau pada segala yang hanya menjadi milik Allah Taala sahaja seperti hak mengadakan undang-undang yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Oleh itu, mengingati peristiwa hijrah bukan bermusim, bukan pada awal tahun hijrah bahkan sepanjang tahun dan lebih daripada itu sepanjang hidup kita.