200 pelajar perempuan direndam oleh guru dalam kolam ikan
KOTA KINABALU: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan pendidik di seluruh negara, era guru bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya termasuk mendera pelajar sudah lama berlalu.
Kementerian katanya, tidak pernah berkompromi dalam soal disiplin sama ada membabitkan guru atau pelajar. Tindakan sewajarnya tetap diambil terhadap pihak bersalah sekalipun harganya ialah kehilangan tenaga pendidik.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian 200 pelajar perempuan Tingkatan Satu hingga Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan dekat Sibu, yang dihukum berendam di dalam kolam ikan yang kotor, selama satu jam, kerana kesalahan seorang daripada mereka membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan sekolah itu, Rabu lalu.
Hishammuddin berkata, pendekatan memberi asuhan awal ketika golongan itu menjalani pengajian di institut pendidikan guru (IPG), dilihat sebagai senjata ampuh ke arah membentuk guru sandaran bangsa.

"Kita bukan sekadar memberi kemudahan infrastruktur tetapi turut menyuntik semangat supaya mereka menjadi guru yang boleh diharap kerana isu disiplin ada di mana-mana, tidak kiralah warden rendam murid, guru pukul murid atau murid pukul murid.
"Ini bukan masa menuding jari kerana kita mempunyai lebih 320,000 guru dan bukan semuanya baik macam malaikat.
"Kita akan ambil tindakan terhadap segelintir (yang mempunyai masalah disiplin) dan kalau mereka rasa boleh bermaharajalela, zaman itu dah berlalu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Konvokesyen IPG Zon Sabah 2007 di Magellan Sutera di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Sibu itu, warden perempuan asrama sekolah itu mengarahkan pelajar berkenaan berendam sehingga ke paras leher di dalam kolam sebagai denda kerana kesalahan seorang daripada mereka yang enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas.
Pengerusi Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Jimmy Kiu yang kebetulan menyaksikan kejadian itu kesal dengan tindakan yang dianggap terlalu keras terhadap pelajar yang menghuni asrama sekolah berkenaan.
Katanya, warden sekolah itu bertindak demikian selepas mendapati tuala wanita ditinggalkan di dalam mangkuk tandas yang digunakan pelajar perempuan.
"Selepas disiasat, tiada pelajar mengaku membuang tuala wanita itu, menyebabkan warden itu mengarahkan semua pelajar itu berendam di dalam kolam walaupun ketika itu hujan dan kilat sabung-menyabung.
"Air kolam itu bertakung dan kotor, malah air dari kantin sekolah turut dialirkan ke kolam itu," katanya.
Jimmy berkata, selepas kejadian semua mangsa diberi amaran supaya tidak menghebohkan peristiwa berkenaan bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.
"Akibat tindakan itu, ramai pelajar mengalami gatal-gatal dan demam, namum mereka tidak berani bersuara kerana takut," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Jimmy yang turut sempat merakam gambar kejadian itu berkata, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu pihak sekolah terus merahsiakan kejadian buruk berkenaan.
"Saya meminta Jabatan Pelajaran dan polis menyiasat kejadian itu," katanya, yang memaklumkan pelajar asrama itu dari kawasan yang jauh, terutama dari Sungai Pasin, Batang Lassa, Nanga Singat, Sungai Lengang, Sungai Belangan dan Tanjung Bekakap.
Jurucakap sekolah berkenaan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pelajar sudah berkali-kali diberi amaran supaya tidak membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas kerana ia menyebabkan tandas tersumbat.
Sementara itu, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab mengenai pendidikan, Datin Fatimah Abdullah mengarahkan Jabatan Pelajaran Sarawak melakukan siasatan segera mengenai kejadian berkenaan.
"Tidak wajar tindakan warden berkenaan dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana pihak sekolah sudah mempunyai garis panduan berhubung tindakan disiplin terhadap pelajarnya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur itu, berkata, tindakan pelajar perempuan membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas adalah salah namun hukuman kepada kesalahan itu tidak membolehkan mereka diarah berendam di dalam kolam ikan.
"Merendam pelajar ke dalam kolam yang kotor bukan peraturan dalam undang-undang disiplin sekolah berasrama.
"Hukuman itu boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada pelajar kerana kolam itu kotor dan berlumpur," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.