Tuesday, 25 July 2006

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB DALAM KELUARGA

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB DALAM KELUARGA
Untuk mengujudkan sebuah keluarga bahagia, setiap anggota keluarga hendaklah mengetahui perasaan, peranan masing-masing dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan akhlak yang jujur dan sempurna, seperti yang dikehendaki oleh Islam.Tugas Dan Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri Dan KeluargaDi bawah ini diperturunkan tugas dan tanggungjawab suami secara ringkas, di antaranya ialah:
1. Memahami bahawa keluarga adalah amanah dari Allah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan dengan sepenuhnya oleh beliau dengan baik dan jujur. Suami adalah ketua keluarga.
2. Mencurahkan kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah) dan bersedia untuk berkorban kerana kebahagiaan keluarga.
3. Memberi bimbingan, didikan dan pengajaran kepada setiap anggota keluarga menurut kehendak Islam.
4. Melindungi keluarga dari segala bentuk pencerobohan dan ancaman di samping melindungi diri mereka dari perbuatan mungkar dan maksiat.
5. Memberikan nafkah dan sara hidup yang selayaknya. Makan dan minum, pakaian, perubatan juga tempat tinggal yang sesuai.
6. Berlaku adil kepada mereka, tindak tanduk hendaklah didasarkan di atas asas pergaulan secara baik.
7. Menyelaraskan masalah yang timbul di antara keluarga sesama mereka atau dengan jiran tetangga dan sahabat taulan.
8. Isteri mempunyai hak di dalam mengendalikan hartanya, suami tidak berhak di atas harta kepunyaan isterinya. Kewajipan suaminya menghormati hak individu ini.
9. Menyelesaikan maharnya jika belum dijelaskan.
Inilah keistimewaan tugas-tugas dan tanggungjawab suami yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t kepadanya.
Tugas Dan Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami Dan Keluarga.
Setiap isteri adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan segala tugas dan kewajipan terhadap suami dan keluarganya dengan jujur, ikhlas dan amanah. Kesimpulan dari tugas dan tanggungjawab tersebut ialah:
1. Wajib bagi isteri mendokong konsep Al-Mawaddah (berkasih sayang) Al-Rahamah (kasih mengasihi) sebagaimana yang diwajibkan ke atas suami.
2. Patuh, taat dan menghormati suami, selama-mana ia tidak bertentangan dengan syarat Islam.
3. Menjaga kehormatan dirinya dan suaminya dan menjaga amanah dan harta suaminya dan juga rahsia keluarga dalam rumahtangga.
4. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadan menarik dan kemas.
5. Mendidik anak-anak dengan sempurna dan sewajarnya menurut lunas-lunas Islam dan menjaga kebersihan, kesihatan dan kebajikan anak-anak sesuai dengn tugasnya. Ibu sebagai orang yang bertanggungjawab dalam perkara ini.
6. Menjalankan urusan rumahtangga supaya sempurna dan teratur mengendalikan kerja rumah.
7. Tidak meninggalkan rumah melainkan setelah mendapat izin dari suaminya atau disebabkan mudarat.
BERSAMBUNG
Pengajarannya dan kata nasihat penyunting: Untuk membentuk atau melahirkan keluarga yang bahagia, bukan sahaja terletak kepada cara-cara pemilihan bakal mempelai berdasarkan ajaran Islam malahan hendaklah diasaskan dari mula-mula lagi. Asas-asas yang kukuh dan diredhai Allah bermula dari sebelum kedua ibu bapa mendapatkan zuriat dan keturunan yang soleh. Tidaklah salah kalau saya katakan mendirikan keluarga bahagia ibarat menanam sebatang pokok.
Hendaklah dicari tanah yang subur, benih yang baik, cuaca yang sesuai dan suasana yang menggalakkan. Benih tadi hendaklah disiram dengan nama Allah dengan niat yang baik supaya dapat memberikan faedah kepada dirinya dan alam sekeliling sebagai tanda ibadat kepada Allah. Setelah tumbuh, pokok itu terus dibaja, dijaga dengan baik dan sewajarnya supaya tidak diganggu oleh serangga atau ulat-ulat sehinggalah pokok itu subur dan terus kuat menghadapi cabaran. Kalau proses ini berjalan terus seperti yang dikehendaki, InsyaAllah ia akan menghasilkan buah yang besar, manis, cantik dan memuaskan. Dan ini kalau dibandingkan dengan manusia ia akan melahirkan zuriat yang baik dan akan mendoakan kedua ibu bapanya.
Oleh yang demikian setiap kita hendaklah benar-benar memahami tujuan asas dan dasar perkahwinan yang dikehendaki oleh Islam. Cara-cara memilih jodoh. Sifat-sifat bakal pasangan yang harus diutamakan menurut Islam. Memahami dan melaksanakan segala amanat dan tanggungjawab masing-masing. Saya percaya cara ini akan dapat mengajar dan membentuk keluarga bahagia dalam Islam. Amin...
(Artikel ini dipetik sebahagian dari risalah Al-Yakin oleh: Dr. Mahmud Saidun bin Osman)
Doa kami: Ya Allah, Ampunilah daku, Keluargaku dan jauhkanlah kami dari api neraka. Masukkanlah ahli kelaurga kami ke dalam surgamu dengan berpimpinan tangan dan dengan rasa syukur akan nikmat ini kehadrat mu ya Allah. Tunjukkanlah jalan yang lurus, jalan mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh, Bukan mereka-mereka yang derhaka dan ingkar kepada mu. Amin ya rab bilallamin.
WASSALAM.
Allah hualam bissawab......

Monday, 3 July 2006

Solat Lima waktu-80 peratus tidak mengerjakannya (Dato Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah).



SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.Pun begitu, pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, mendedahkan 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini

”Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit. ``Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek,'' kata Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini. Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila beliau tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan hadirin tergamam seketika. ``Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang yang ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut, natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama.``Kewajipan solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada nilai sensasi untuk diketengahkan kepada umum. ``Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke pengetahuan semua kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran apabila umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja,'' terang beliau.

Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati. Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam. ``Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak. ``Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak . ``Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar. ``Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama,'' kata Fadzilah.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak sebab rapuhnya keimanan seseorang itu; kerana suasana kerja, pengaruh teman-teman, pengaruh luar yang tidak menggalakkan dan sebagainya. Namun, punca sebenar berlakunya demikian ialah kerana tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan sembahyang, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan sembahyang. Dr. Fadzilah mengakui kebenaran bahawa manusia lebih peka menumpukan perolehan yang bersifat material. ``Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah-Nya,'' ujarnya