Wednesday, 29 March 2006

KAFA INTEGRASI NURUL HIDAYAH MEMBERI BANTUAN BUKU TEKS KEPADA MANGSA BANJIR KG. KEBUN BUNGA BT3 SHAH ALAM





Hujan turun mencurah-curah di sekitar Lembah Klang pada awal pagi Ahad, 26 Februari lalu. Ketika itu kebanyakan penduduk Lembah Klang masih enak dibuai mimpi. Apatah lagi, hari Ahad. Kedinginan dik hujan lantas membuatkan penduduk Lembah Klang menarik selimut dan menyambung tidur.
Malangnya, tanpa disedari hujan lebat luar biasa itu mencetuskan kekalutan apabila banjir kilat telah menenggelamkan lebih 6,000 rumah di Shah Alam dan kawasan sekitarnya.Antara kawasan yang teruk ditenggelami air ialah Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga, TTDI Jaya, Kampung Landasan, Kampung Melayu Subang, sekitar Seksyen 13, juga beberapa tempat di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Bukit Jelutong.
Turut menjadi mangsa fenomena alam ialah ribuan kenderaan yang bukan sahaja tenggelam malah dihanyutkan arus deras. Ia dikatakan banjir terburuk yang pernah melanda daerah itu sejak 10 tahun lalu. Nasib baik tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kebiasaannya kita melihat banjir besar seperti ini hanya berlaku di sebelah pantai timur seperti di pahang, terengganu dan kelantan. Fenomena ini sudah menjadi lumrah bagi mereka di pantai timur apabila datang musim tengkujuh. Tetapi ianya menjadi satu keajaiban apabila ianya berlaku di bandar besar seperti di Shah Alam yang dikenali sebagai Bandaraya dan sudah diisytiharkan sebagai Negeri Maju.

Pelbagai pihak telah mengulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ini. Ianya tidak terkecuali bagi Sekolah Agama Rakyat (KAFA INTEGRASI NURUL HIDAYAH TAMAN BATU 3) telah memberi sumbangan berbentuk buku teks secara percuma kepada pelajar-pelajar KAFAI NURUL HIDAYAH yang terlibat dalam tragedi banjir ini. Sumbangan yang dihulurkan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit bebanan kepada ibu-bapa yang terpaksa membeli buku-buku ini untuk pembelajaran anak-anak mereka.


Ini lah kuasa ALLAH S.W.T yang memusnahkan harta benda dalam sekelit mata sahaja. Seharusnya apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada kita semua. Memang tidak dinafikan ianya berpunca daripada masalah sistem perparitan dan masalah - masalah teknikal yang lain. Tetapi itu sekadar sebab dan musabab sahaja. Sebenarnya apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH S.W.T. Mungkin ada diantara yang melakukan sesuatu sehinggakan datang kemurkaan Allah ini. Sama-sama lah kita bermuhasabah. (SU KAFAINH)

Monday, 27 March 2006

FENOMENA MATAHARI NAIK DARI ARAH BARAT





KUALA LUMPUR: Bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dato’ Dr. Haron Din berkata fenomena kejadian pelik planet Marikh berputar ke belakang adalah petanda akhir zaman yang semakin hampir.

Beliau memetik hadis diriwayat Al-Bukhari dan Al-Muslim: Daripada Abi Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda, “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah matahari naik dari arah barat. Apabila ia naik dari arah barat dan dilihat oleh manusia umum, banyak dari mereka akan beriman, tetapi ketika itu tidak lagi berfaedah imannya jika mereka tidak beriman sebelumnya, walaupun mereka melakukan itu sebagai suatu kebaikan.”

Beliau berkata, sebenarnya fenomena ini telah disiarkan dalam web http://www.space.com/, bertarikh 25 julai 2003. laman web itu memaparkan laporan ahli astronomi Barat tentang fenomena ganjil dikenali dengan istilah retrograde motion, iaitu berlaku sesuatu pergerakan yang menyebabkan Marikh berhenti peredarannya dan tiba-tiba bergerak ke belakang.

Ia menyebabkan keadaan matahari yang sepatutnya naik dari arah Timur jatuh ke arah Barat, tiba-tiba berlaku matahari naik dari arah Barat, turun ke arah Timur.
Menurut Ustaz Haron Din yang juga pengamal perubatan Islam terkemuka di Malaysia, maklumat itu disiar semula oleh Majalah Al-Mujtamak, keluaran Febuari 2006. “Yang menarik perhatian saya, ahli-ahli kaji bintang menyebut bahawa pergerakan terbalik, bukan sahaja akan berlaku ke atas Planet Marikh, tetapi juga kepada planet lain khasnya Bumi,” ujarnya.

Katanya, Ahli-ahli astronomi barat menjangkakan fenomena yang sama akan berlaku kepada Bumi kerana ia adalah Planet yang paling hampir dengan Marikh.
Beliau merujuk maksud Al-Fussilat, ayat 53, “Kami akan tunjukkan kepada kalian tanda-tanda keagungan kami pada setiap pandangan mata kamu di ufuk (horizon) dan dalam diri kamu sendiri sehingga ternyatakan kepada kalian bahawa Dialah Allah yang benar yang Maha Berkuasa.”

Selama ini, katanya, ramai menganggap peristiwa ini sukar dipercayai oleh akal dan tidak dapat membayangkan bagaimana ia berlaku. “Kini ada jawapannya. Marikh planet yang terdekat dengan bumi. Bumi dan Marikh termasuk dalam satu solar sistem yang sama, jika berlaku satu fenomena kepada planet yang berhampiran maka tidak mustahil fenomena sama akan berlaku ke atas planet lain.” Katanya.

Beliau menyeru umat Islam supaya meyakini bahawa Hari Kiamat serta Hari Pembalasan sudah semakin hampir dan seharusnya menyediakan diri kembali kepada Islam, sebelum pintu taubat ditutup.

Friday, 24 March 2006

Adi Putra mungkin dibuang sekolah





IPOH 23 Mac - Murid yang memiliki kepintaran luar biasa dalam bidang Matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 7, (kiri) menghadapi kemungkinan dibuang sekolah selepas menerima surat amaran dan surat tunjuk sebab kerana terlalu kerap tidak hadir ke sekolah.
Ibunya, Serihana Elias, 31, ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau telah menerima surat daripada guru besar Sekolah Kebangsaan Matang Buluh, Bagan Serai mengenai kemungkinan Adi Putra dibuang sekolah berikutan masalah disiplin tersebut.
Bekas guru itu berkata, masalah berkenaan timbul berikutan sikap Adi Putra yang enggan ke sekolah kerana bosan terpaksa belajar ilmu asas Matematik serta mengikut sukatan mata pelajaran membaca, menulis dan mengira (3M) yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.
Adi Putra yang sudah boleh membaca surat khabar pada usia empat tahun dan mempunyai formula tersendiri untuk menguasai 3M memberitahu ibunya, selepas lebih tiga bulan bersekolah dia baru diajar angka sembilan sedangkan dia sudah mampu menyelesaikan soalan yang mencecah angka trilion.
``Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan kami terlalu mengeksploitasi Adi Putra dengan membawanya ke sana ke mari tetapi hakikatnya dia sendiri yang sudah banyak kali beritahu yang dia sudah terlalu bosan ke sekolah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Adi Putra yang berada di sebelah ibunya ketika disoal pemberita memberitahu, dia lebih berminat untuk belajar di Sekolah Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur, mengikuti kursus bahasa Cina, Inggeris, Jepun, Arab dan Perancis serta belajar tahfiz al Quran berbanding belajar di dalam Tahun Satu seperti sekarang.
Adi Putra yang hanya ke sekolah antara dua hingga tiga kali seminggu berkata, dia hanya berminat ke sekolah apabila terdapat aktiviti pendidikan jasmani.
Bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahab, 48, merayu Kementerian Pelajaran supaya memberi pelepasan kepada Adi Putra untuk bersekolah di Sekolah Islam Antarabangsa atau sekolah pintar swasta bagi memberinya peluang mengikuti pembelajaran secara lebih fleksibel seperti yang dicadangkan oleh tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh.

MAJLIS IHTIFAL KAFAI NURUL HIDAYAH 25/03/06